Pekerja p-hailing akan diberi notifikasi peringatan lesen tamat

Pekerja p-hailing akan diberi notifikasi peringatan lesen tamat tempoh

Kerajaan disaran fokus mengurangkan pekerja kurang mahir terutama dalam kalangan pekerja p-hailing yang memperoleh pendapatan bawah RM3,000 sebulan. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bagi mengelakkan kejadian sama berkenaan pekerja p-hailing yang motosikalnya disita berulang, kerajaan dan syarikat penyedia perkhidmatan akan mengusahakan beberapa penyelesaian.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, antara penyelesaian tersebut adalah termasuk mengeluarkan notifikasi peringatan lesen tamat tempoh kepada semua pekerja-pekerja p-hailing.

Kata beliau, perkara tersebut dibincangkan melalui pertemuannya bersama syarikat penyedia perkhidmatan baru-baru ini bersama wakil daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Hari ini saya bertemu pihak Foodpanda, Grab serta wakil JPJ, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan MDEC untuk faham bagaimana seorang penghantar boleh bekerja tanpa lesen atau insuran motosikal yang sah, hingga berlaku insiden tersebut.

“Terima kasih kepada Grab dan Foodpanda atas kesudian bertemu serta saya alu-alukan semangat mereka untuk usahakan beberapa penyelesaian, termasuk notifikasi peringatan lesen tamat tempoh.

“(Ini) agar riders (penghantar) dapat melakukan kerja dengan lebih selamat. Insya-Allah, KKD melalui MDEC akan terus bersama sektor p-hailing dan ekonomi gig, dalam usaha memajukan ekonomi digital di Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu tular dalam media sosial video berdurasi 18 saat yang memaparkan seorang pekerja p-hailing berjalan kaki sambil menggalas beg penghantaran.

Video itu membawa pelbagai reaksi pengguna media sosial termasuk bersimpati dengan pekerja p-hailing tersebut.

Bagaimanapun, JPJ Negeri Sembilan dalam satu kenyataan tampil menjelaskan tindakan menyita motosikal individu tersebut diambil selepas mendapati penghantar itu melakukan kesalahan menunggang motosikal semasa Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans.

Sementara itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut mendedahkan jumlah kemalangan jalan raya yang berlaku melibatkan pekerja-pekerja p-hailing.

“Saya difahamkan, secara keseluruhan, terdapat hampir 200,000 rider pelbagai platform di seluruh negara.

“Pihak JPJ memaklumkan bahawa dari 1,242 kemalangan jalan raya sehingga Mei 2022, 112 orang rider p-hailing telah meninggal dunia. Oleh itu, aspek keselamatan jalan raya dan pematuhan undang-undang amat penting,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN