Pegawai Kadet Palapes perlu terap disiplin, ilmu pengetahuan

Pegawai Kadet Palapes perlu terap disiplin, ilmu pengetahuan

TENGKU Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin memeriksa perbarisan pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam Ke-41 di UUM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) yang ditauliah perlu memberi penekanan terhadap dua aspek penting untuk dijadikan pedoman sebagai pewaris kepada tampuk pemerintahan dan kepimpinan negara.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, dua aspek penting itu adalah disiplin dan ilmu pengetahuan yang perlu sentiasa digilap bagi berdepan cabaran pada masa depan. 

Baginda yang juga Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Askar Melayu Diraja dan Kor Perkhidmatan Diraja bertitah, elemen pertama iaitu disiplin memiliki pengertian tersendiri yang akan melahirkan keunggulan peribadi serta memberi impak luas kepada organisasi hingga mampu membawa kejayaan diharapkan. 

“Penerapan tatasusila ketenteraan perlu dijadikan asas bagi membantu keperibadian yang berbudaya tinggi dan dihormati sekaligus melahirkan generasi berilmu serta berakhlak mulia. 

“Manakala ilmu pengetahuan pula amat penting kerana tanpanya kita pasti akan gagal melaksanakan tugas dengan cekap dan berjaya. Mencari ilmu pengetahuan memerlukan kesungguhan dan keazaman selain perlu berkorban masa. 

“Saudara-saudari mestilah menanam semangat tidak jemu mempelajari dan menambah ilmu dalam semua bidang kerana perkara itu adalah aset dan kuasa untuk kita terus bergerak maju serta berdaya saing,” titah baginda. 

Titah baginda dibacakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam Ke-41 di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.

Istiadat perbarisan itu melibatkan 1,488 pegawai kadet Palapes dari 20 universiti terdiri 861 pegawai muda dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW), 287 pegawai muda Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan 340 pegawai muda Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM). 

Tengku Sarafudin turut berkenan menyampaikan Anugerah Pedang Kehormat kepada 37 pegawai kadet terbaik dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan tersebut. 

Sementara itu, Sultan Sallehuddin menyifatkan kejayaan semua pegawai kadet tersebut sebagai salah satu daripada elemen pemerkasaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menyediakan angkatan pertahanan melalui pendekatan ‘Whole of government, whole of society’ (wogos). 

Melalui konsep itu titah baginda, negara dapat melahirkan modal insan yang mampu menyumbang kepada pertahanan negara, sebagai pegawai muda sukarela yang profesional serta kompeten. 

“Beta juga ingin mengingatkan saudara-saudari sekalian supaya meneruskan sumbangan bakti di samping mempamerkan semangat patriotik kepada negara di mana jua berada. 

“Saudara-saudari seharusnya merasa bangga dan hendaklah meneruskan kesinambungan usaha bagi melengkapkan diri untuk menjadi rakyat yang boleh menyumbang kepada keamanan serta mempertahankan negara daripada anasir tidak diingini,” titah baginda. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya