KANGAR: Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) bukan hanya menjadi pilihan ahli Pas namun semua pihak termasuk ibu bapa daripada penyokong pelbagai parti politik lain yang memilih menghantar anak-anak mereka untuk belajar di sana.
Ketua Pemuda Pas negeri, Haziq Asyraf Dun berkata, walaupun Pasti berada di bawah selian Pemuda Pas, namun aspek pendidikan murid-murid pra sekolah tersebut tidak menerapkan sebarang unsur politik.
Katanya, Pasti hanya merupakan institusi bagi mendidik anak-anak untuk menjadi seorang muslim yang baik meliputi silibus dan aktiviti yang telah dirancang.
“Pasti bukan hanya menjadi pilihan ahli Pas sahaja namun kebanyakan ibu bapa lain yang berparti pun tiada masalah.
“Ada yang mak ayah ikut UMNO, PKR pun ada, dan ia tak menjadi masalah kerana ini adalah soal pendidikan anak-anak di peringkat pra sekolah,” katanya di sini hari ini.
Isu Pasti sebelum ini menjadi polemik apabila tular satu klip video memaparkan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sewaktu berucap dalam satu program menyarankan agar tiada mana-mana pihak menghantar anak-anak mereka untuk belajar ke pusat asuhan itu selepas ini.
Mengulas mengenai perkara itu, Haziq berkata, kenyataan Lokman tersebut lebih menjurus ke arah emosi dan dianggap kurang cerdik berikutan rakyat tidak melihat kepada soal politik dalam perkara tersebut.
“Pilihan raya semua sudah habis dan rakyat hanya mahu lihat kita berkhidmat untuk mereka. Pasti juga sudah lebih 30 tahun beroperasi dalam negara malah tiada masalah pun yang timbul selama ini,” katanya.
Dalam pada itu, Haziq berkata, silibus yang diterapkan di dalam Pasti juga merupakan hasil deraf yang telah diperincikan oleh tokoh dan pakar dalam bidang pendidikan.
Katanya, tabika swasta lain juga turut mempunyai silibus yang tersendiri malah perkara itu tidak menimbulkan sebarang permasalahan.
“Di Pasti kita ada cara kita tersendiri dan kenapa harus dipersoalkan perkara itu,” katanya.
Dalam pada itu, Haziq berkata, Pas juga tidak pernah memaksa ibu bapa menghantar anak-anak ke Pasti dan mereka sukarela memilih institusi itu sebagai tempat pertama didikan anak-anak di awal persekolahan.
“Kebanyakkan waris memilih Pasti kerana di situ, anak-anak mereka diajar nilai Islam yang menjadi silibus utama institusi tersebut,” katanya.-UTUSAN