Pasangan curi duit tabung masjid hanya dapat RM10

Pasangan curi duit tabung masjid hanya dapat RM10

TANGKAP layar sepasang suspek lelaki dan wanita yang sedang membuka tabung duit dalam kejadian kecurian di Masjid A'ala, Kampung Benua di Simpang Empat, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tindakan dua suspek mencuri duit tabung masjid di Kampung Benua, Simpang Empat, di sini tengah hari semalam tidak berbaloi apabila mereka dipercayai hanya memperolehi tidak sampai RM10.

Malah perbuatan pasangan itu kini memakan diri apabila gelagat dan wajah mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid yang tersebar di media sosial.

Ahli Jawatankuasa Masjid A’ala, Mat Khair Ishak berkata, pintu pagar serta pintu di kesemua laluan masuk ke dalam masjid tidak pernah dikunci bagi memudahkan orang ramai memanfaatkan rumah ibadat tu.

“Orang ramai bebas memasuki untuk beribadah atau menggunakan kemudahan seperti tandas kerana lokasi masjid terletak di tepi jalan utama Alor Setar-Sungai Petani,” katanya ketika dihubungi.

Mat Khair berkata, disebabkan kekerapan kejadian curi duit tabung berkenaan, pihak pengurusan masjid terpaksa mengutip semua wang di dalam tabung setiap hari untuk disimpan.

Katanya, kejadian terbaru itu disedarinya selepas mendapati salah satu tabung dialih daripada kedudukan asal semasa dia tiba untuk membuat persiapan menunaikan solat Zohor.

“Biasanya tabung berkenaan diletakkan di pintu masuk utama di dalam masjid tetapi semasa sampai ke masjid saya dapati ia berada di ruang solat wanita hingga menimbulkan curiga.

“Saya bersama beberapa jemaah kemudian melihat CCTV dan mendapati ianya perbuatan seorang lelaki dan seorang wanita yang memasuki masjid untuk mencuri,” katanya.

Tambahnya, video berdurasi 1 minit 34 saat itu menunjukkan pasangan itu datang ke masjid menggunakan sebuah motosikal sebelum suspek wanita menukar pakaian dan memasuki ruang solat wanita sementara suspek lelaki mengangkat tabung dari luar ke dalam.

“Suspek wanita dikesan menggunakan pemotong besi kecil untuk membuka tabung berkenaan selain gelagat suspek lelaki menggeledah sebuah lagi tabung yang terdapat di situ.

“Namun mereka gagal memperolehi duit seperti dihajati kerana kita lebih awal telah mengambil semuanya untuk disimpan,” katanya yang tidak bercadang untuk membuat laporan polis berkaitan kejadian itu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya