KOTA BHARU : Tiada sebarang arahan rasmi dikeluarkan oleh Pas kepada ahli-ahlinya setakat ini, sama ada untuk menyertai atau melarang mereka daripada menyetari Himpunan Selamatkan Malaysia di ibu negara.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, himpunan tersebut lebih kepada satu tindakan untuk meluahkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan dan tiada masalah jika disertai orang ramai termasuk ahli-ahli parti itu.
Menurutnya, antara perkara yang mencetuskan perhimpunan tersebut adalah banyak masalah rakyat tidak dapat diselesaikan oleh Kerajaan Perpaduan termasuk tiada hala tuju yang jelas sepanjang sembilan bulan pemerintahan.
“Saya tidak terlibat secara langsung dalam perbincangan mengenai himpunan itu, cuma difahamkan ia merupakan satu pernyataan mengenai perasaan rakyat terhadap kerajaan pada hari ini.
“Bagi kita tidak ada masalah jika sesiapa mahu menyertai himpunan itu kerana ini cara rakyat meluahkan perasaan. Tiada larangan atau arahan rasmi setakat ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Pagi Jumaat di Medan Ilmu, di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Pemuda Perikatan Nasional (PN) akan menggerakkan himpunan aman pada esok bagi memulakan kempen Selamatkan Malaysia susulan keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, himpunan tersebut sebagai permulaan sebelum menggerakkan satu kempen jelajah Selamatkan Malaysia ke seluruh negara.
Beliau berkata, terdapat dua isu akan difokuskan oleh pihaknya iaitu pelepasan tanpa bebas terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk dengan 47 kes rasuah dan pengubahan wang haram serta isu badan kehakiman dan sistem perundangan negara yang disifatkan sebagai kian meruncing.
Bagaimanapun, semalam Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun menyeru rakyat di negeri ini supaya tidak melibatkan diri dengan menyertai Himpunan Selamatkan Malaysia dan membatalkan niat jika berhasrat untuk menyertainya. –UTUSAN