Papagomo didenda maksimum RM2,100 `bodohkan' Syed Saddiq

Papagomo didenda maksimum RM2,100 `bodohkan’ Syed Saddiq

WAN Muhammad Azri Wan Deris hadir di Mahkamah Majistret Kajang bagi keputusan kes mendatangkan kecederaan ke atas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Bekas penulis blog, Papagomo didenda maksimum RM2,100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah mencederakan dan menyebut perkataan kurang sopan terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, empat tahun lalu.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kesnya melampaui tahap keraguan munasabah bagi kedua-dua pertuduhan yang dihadapi oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Bagi pertuduhan mendatangkan cedera, bekas Exco Pemuda UMNO itu didenda RM2,000 manakala bagi pertuduhan menyebut perkataan kurang sopan, tertuduh didenda RM100. Kedua-dua denda adalah maksimum.

Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda RM2,000 itu, dia boleh dipenjara selama tiga bulan sementara jika tertuduh gagal membayar denda RM100 dia boleh dipenjara sehari. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Sejurus selepas mengenakan hukuman itu, Muhammad Noor Firdaus mengingatkan tertuduh dan orang ramai yang duduk di galeri awam dengan memetik sepotong hadis.

“Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah (apabila) seseorang Muslimin (yang lain) selamat daripada (keburukan) lidahnya dan tangannya.

“Mahkamah dimaklumkan tertuduh menuntut di sebuah sekolah pondok, mungkin ini adalah masa yang tepat untuk saya mengingatkan diri sendiri dan semua tentang apa yang telah ditinggalkan kepada kita,” kata beliau.

Terdahulu keputusannya, Muhammad Noor Firdaus berkata, hukuman itu dijatuhkan selepas mahkamah mengambil kira fakta kejadian dan kecederaan yang dialami mangsa.

“Meskipun perbuatan (mendatangkan cedera) tersebut hanya melibatkan beberapa pergerakan kecil jari, namun mendatangkan rasa sakit kepada mangsa (Syed Saddiq) dalam kes tersebut. Bagi pertuduhan percakapan kurang sopan perbuatan itu mengganggu gugat keamanan,” kata beliau.

Semasa rayuan terhadap hukuman, peguam Nik Saiful Adli Burhan mewakili Wan Muhammad Azri memohon anak guamnya dikenakan hukuman denda yang paling rendah atas alasan tertuduh kini hanya peniaga dan pendapatannya tidak menentu.

Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim memohon hukuman sewajarnya bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

“Mahkamah perlu mengambil kira tertuduh merupakan individu yang dikenali masyarakat dan sepatutnya memberi contoh baik kepada umum,” kata Norfarhanim.

Papagomo pada asalnya didakwa mengaibkan kehormatan Ahli Parlimen Muar itu dengan menyebut perkataan ‘kau bodoh’. Pertuduhan itu kemudian dipinda kepada pertuduhan baharu iaitu menyebut perkataan kurang sopan.

Mahkamah meminda pertuduhan daripada Seksyen 509 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.

Wan Muhammad Azri didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu ke atas Syed Saddiq di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian, di sini, pada jam 11.05 pagi, 16 Februari 2019.

Bagi kesalahan mencederakan Syed Saddiq, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq membuat laporan mendakwa dicekak dalam satu insiden sebaik selesai proses penamaan calon di Dewan Sri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada hari kejadian.

Papagomo turut membuat satu laporan polis terhadap Syed Saddiq atas dakwaan membuat laporan palsu terhadap dirinya.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, dengan menyifatkan insiden kononnya beliau menyerang Syed Saddiq selepas penamaan calon itu sebagai perselisihan faham. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN