ARAU: Gesekan biola seorang warga emas berusia 75 tahun di bawah pokok kelapa berlatar belakangkan sawah padi menghijau di hadapan rumahnya di Kampung Kubang Gajah di sini cukup merdu sekali gus memukau siapa sahaja yang mendengarnya.
Meskipun sudah di usia emas, namun Hashim Din atau lebih dikenali sebagai Pak Long,75, terus aktif bermain alatan muzik berkenaan yang diwarisi sejak lebih enam dekad lalu.
Bagi Pak Long, dia akan terus mengesek biola berkenaan sama ada melalui persembahan atau sebagainya selagi masih ada hayat memandangkan ia adalah jiwa warga emas itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pak Long berkata, dia mula bermain biola yang diwarisi dari arwah bapanya sejak tahun 1962 dan masih aktif membuat persembahan di majlis-majlis apabila menerima undangan.
Kata bapa kepada lima orang anak itu, dia juga mempunyai kumpulan sendiri iaitu Sri Kayang yang dianggotai oleh lima orang bagi membuat persembahan termasuk di luar negeri ini.
Ujarnya, selain mencari rezeki melalui kerja-kerja kampung, persembahan biola berkenaan juga memberi pendapatan kepadanya.
“Saya memang meminati gesekan biola ini sejak berusia belasan tahun lagi dan terus bertahan bermain alatan muzik berkenaan sehingga kini meskipun usia sudah hampir 80 tahun.
“Pelbagai genre muzik atau lagu yang boleh saya main seperti klasik, moden, bollywood, Cina dan pelbagai lagi. Alhamdulilah, setakat ini, masih ada jemputan yang masih diterima sama ada majlis atau program kerajaan.
“Setiap persembahan antara bayaran adalah daripada serendah RM600 sehingga RM5,000 bergantung kepada sesuatu majlis itu,” katanya.
Tambah Pak Long, dia juga mempunyai beberapa jenis biola dan antara koleksi yang paling istimewa adalah merupakan pemberian bapa mertuanya, Allahyarham Bakar Darus pada 1962 yang masih dalam keadaan baik.
“Pak Long sememangnya sangat meminati biola sejak muda lagi dan ia mampu menjana pendapatan tambahan buat Pak Long melalui pelbagai persembahan,” katanya.
Bagaimanapun kata Pak Long, anak-anaknya tidak berminat untuk mempelajari biola namun mereka sentiasa memberi sokongan penuh kepadanya untuk mempertahankan legasi itu.-UTUSAN