BALING: Meskipun lebih memerlukan wang untuk membeli beras dan barangan keperluan harian lain, Orang Asli Kensiu yang tinggal di Kampung Ulu Legong, di sini ‘berkorban’ apabila mengeluarkan duit poket bagi membeli Jalur Gemilang.
Perbelanjaan itu dikeluarkan mereka yang tinggal di kampung tersebut dengan setiap mereka menyumbang RM5 bagi membeli bendera Malaysia dan bendera negeri Kedah sempena Hari Kebangsaan ke-66.
Tok Batin, Razali Kulim, 44, berkata, terdapat juga keluarga yang memberikan wang lebih untuk mereka membeli lebih banyak Jalur Gemilang yang dipasang di sepanjang jalan di kampung itu.
“Hampir 70 buah rumah termasuk dewan orang ramai, tadika dan surau dipasang bendera agar kampung kami nampak lebih cantik dan meriah.
“Saya juga bangga dengan inisiatif penduduk yang bukan sahaja sanggup berkorban wang tetapi menyumbang tenaga untuk menjayakan aktiviti pemasangan Jalur Gemilang secara bergotong royong,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Sementara itu, Mohamad Fitri Abdullah, 15, berkata, sebelum ini dia tidak faham erti kemerdekaan, tetapi kini apabila sudah menginjak usia remaja dia mulai tahu dan faham makna Hari Kebangsaan.
“Sebelum ini saya terikut-ikut sahaja apabila ibu bapa pasang Jalur Gemilang tetapi kali ini saya sendiri keluarkan wang untuk beli Jalur Gemilang dan sama-sama memasangnya di rumah.
“Saya gembira menjadi warganegara Malaysia dan menjadi penduduk asal di sini kerana keadaannya aman damai dan rakyatnya saling hormat menghormati tidak mengira umur dan lapisan masyarakat,” katanya.
Zul Sani, 38, pula bertambah semangat untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan apabila memasang bendera kebanggaan negara itu dirumahnya.
“Apabila lihat Jalur Gemilang berkibar di rumah, perasaan sayang akan tanah air ini semakin menebal. Saya dan kawan-kawan sanggup keluarkan duit poket sendiri untuk beli Jalur Gemilang dan bendera Kedah meskipun wang itu lebih diperlukan untuk beli beras,” katanya. –UTUSAN