KANGAR: Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah Perlis (MSSPs) 2023 merupakan platform terbaik bagi melahirkan atlet pelapis masa hadapan sebaris dengan jaguh lompat jauh negara, Abdul Latif Romly.
Sejak kejohanan tersebut bermula pada tahun 2008, pelbagai acara sukan telah ditambah bagi membolehkan lebih ramai atlet sukan para tersebut dapat dilahirkan di negeri ini.
Pengerusi Teknik Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSPs 2023, Aznan Mat Isa berkata, sewaktu permulaan dahulu, terdapat hanya lima acara sukan dipertandingkan meliputi 100 meter, 200 meter, 4×100 meter, lompat jauh dan melontar peluru.
“Bagaimanapun kita telah tambah acara sukan dipertandingkan bagi kejohanan ini antaranya seperti 400 meter, 1,500 meter, 4×100 meter campuran dan merenjam lembing.
“Kita mengambil pendekatan untuk menambah acara ini bagi membolehkan atlet negeri ini dapat bersaing secara lebih kompetitif di peringkat kebangsaan,” katanya ketika ditemui selepas acara penutup Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSPS 2023 di mini stadium Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan di sini hari ini.
Hadir sama bagi menyempurnakan acara penutup kejohanan itu adalah Pengarah Pendidikan negeri, Naharudeen Othman.
Dalam kejohanan kali ini, SMK Syed Alwi telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan bagi peringkat sekolah menengah manakala bagi peringkat sekolah rendah pula diungguli oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Empat.
Sebagai rekod, jaguh lompat jauh negara, Abdul Latif yang memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh T20 di Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, Jepun juga merupakan atlet yang bermula dari Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSPS itu.
Dalam pada itu, Aznan berkata, penganjuran sukan pada kali ini juga turut dibuka buat murid dan pelajar di kelas arus perdana yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU).
“Sebelum ini kita hanya buka penyertaan untuk murid kelas program pendidikan khas integrasi (PPKI) namun kali ini kita juga buka kepada murid pemegang kad OKU di kelas perdana,” katanya.
Sementara itu, Naharudeen berkata, seramai 432 pelajar meliputi 19 sekolah menengah dan 12 sekolah rendah telah mengikuti kejohanan itu yang juga platform bagi mencungkit bakat-bakat baharu dalam bidang pendidikan khas.
Katanya, Perlis sememangnya tidak ketandusan atlet dari pendidikan khas memandangkan terdapat pelajar dari negeri ini turut terlibat dalam kejohanan di peringkat arus perdana.
“Untuk pendidikan khas tahun ini bagi kejohanan merentas desa, atlet lelaki dan perempuan bawah 19 tahun kita turut berjaya memperolehi pingat emas.
“Melalui atlet ini juga kita harap mereka dapat menyumbang pingat dalam Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas di peringkat Kebangsaan nanti,” katanya.-UTUSAN