Nilai eksport produk buluh meningkat lebih 60 peratus -TPM

Nilai eksport produk buluh meningkat lebih 60 peratus -TPM

FADILLAH Yusof melawat tapak pameran produk berasaskan buluh di Auditorium Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong, hari ini. -UTUSAN/ M. Firdaus M. Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nilai eksport produk buluh negara meningkat sebanyak 66.1 peratus apabila mencatatkan pendapatan sebanyak RM14.46 juta tahun lalu berbanding RM8.7 juta tahun sebelumnya.

Ia sekali gus membantu industri kayu meningkatkan pendapatan eksport negara sebanyak 10.6 peratus iaitu RM25.21 bilion pada 2022 berbanding RM22.79 juta tahun sebelumnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peningkatan itu membuktikan buluh merupakan antara sumber hutan penting sebagai sumber alternatif bagi industri kayu.

Katanya, keluasan taburan tanaman buluh di Semenanjung adalah kira-kira 229,122.57 hektar ketika ini.

“Malaysia mempunyai lebih kurang 70 spesies buluh dengan 45 daripada spesies tersebut merupakan spesies tempatan yang tumbuh secara semula jadi di kawasan hutan, malah, sebanyak 31 tanaman buluh terdapat di Semenanjung, 45 peratus di Sarawak dan 24 peratus didapati di Sabah.

“Walaupun dari segi sumbangan nilai eksport produk ini tidak besar berbanding produk-produk perkayuan lain, namun, ia mempunyai potensi yang sangat besar untuk dimajukan dan digunakan sebagai bahan alternatif kayu untuk pelbagai jenis aplikasi,” katanya ketika merasmikan Hari Buluh Sedunia Malaysia 2023 di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) hari ini.

Bagaimanapun, katanya, nilai import produk buluh masih mencatatkan jumlah jauh lebih tinggi dengan sebanyak RM129.18 juta dengan kebanyakannya diimport dari China, Indonesia dan Vietnam.

Justeru, katanya, dengan kekuatan seramai 577 pengusaha yang terlibat secara langsung dalam industri berasaskan buluh di negara ini, satu pendekatan yang efektif perlu dilakukan.

“Transformasi industri perlu dilakukan secara holistik bagi mewujudkan suasana yang kondusif agar peralihan struktur industri ini daripada industri orientasi kecil-kecilan kepada industri hiliran yang mengeluarkan produk buluh bernilai tambah tinggi dapat dicapai.

“Kesemua pihak khasnya yang terlibat secara langsung dengan pembangunan industri ini untuk mengambil langkah proaktif bagi memastikan pembaharuan berlaku dalam rantaian pengeluaran supaya penghasilan produk buluh mempunyai nilai pasaran yang tinggi perlu diutamakan menerusi inovasi, pembangunan modal insan dan juga teknologi terkini,” katanya.

Katanya lagi, program pendidikan dan galakan yang berterusan, industri buluh berupaya memoptimumkan sumber bahan mentah sebagai sumber alternatif dalam industri perkayuan.

Disebabkan itu, katanya, kerajaan membangunkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia bagi memastikan industri buluh di Malaysia terus berkembang maju.

“Industri ini berpotensi untuk dikembangkan melalui lebih banyak kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomersialan.

“Kerjasama rapat antara agensi kerajaan dan pihak industri disokong persatuan-persatuan dan orang ramai akan dapat terus memajukan dan membangunkan industri buluh serta dapat mengurangkan penghasilan karbon,” katanya.

Eksport berasaskan kayu di Malaysia telah dieksport ke lebih 173 buah negara di seluruh dunia.

Produk-produk utama berasaskan kayu dieksport adalah papan lapis, kayu dan perabot. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya