PENAMPILAN baharu penyanyi rap popular, MK menuai pujian dan persepsi positif peminatnya terutama selepas dia mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan, Siti Hajar.
Tiada lagi perhiasan emas dan penampilan ‘lelaki seksi’ yang sering kali menjadi bahan bualan warganet sebelum ini. Dia kini kelihatan ‘bersih’, bukan lagi ‘budak jahat’.
Namun apakah yang membuka hatinya untuk berubah ke arah yang lebih baik? Adakah itu adalah permintaan isterinya yang tidak suka dengan gaya imejnya sebelum ini?
Bagaimana pula dengan perancangan kerjayanya selepas ini? Ada batas atau syarat yang ditetapkan sebelum menerima sebarang tawaran berlakon? MK, Jawablah!
Macam mana dengan kehidupan berumah tangga? Ramai sangat yang suka melihat keletah kalian, suami isteri.
Alhamdulillah, setakat ini semuanya baik-baik. Tetapi nama pun rumah tangga, ada naik turunnya. Lebih-lebih lagi kami pasangan yang baru melangkah ke alam perkahwinan.
Cuma kali ini, bila berdepan masalah kami sama-sama dapat berbincang dan selesaikannya secara lebih tenang serta toleransi. Masih belajar.
Ada tak perasaan tertekan apabila menjadi perhatian warganet? Yelah, menjadi ikutan anak-anak muda khususnya, adakah itu juga sedikit banyak memberi tekanan kepada MK dan isteri?
Secara jujur, tidaklah memberi tekanan sangat. Kami masih menjadi diri sendiri, tidak ada berpura-pura. Tetapi saya anggap itu sebagai satu peringatan untuk kami berdua supaya lebih berhati-hati dan mengawal tingkah laku agar tidak memberi persepsi negatif terutama kepada generasi muda yang mengikuti media sosial saya.
Penampilan MK ketika membuat persembahan sekarang mendapat perhatian peminat. Tiada lagi perhiasan emas yang disarung. Adakah ini niat selepas berkahwin?
Saya tahu, sebelum ini saya cukup ‘hangat’ dengan perhiasan emas-emas. Tetapi sebelum kahwin lagi saya sudah mula niat untuk memberi contoh yang baik kepada peminat.
Saya tak boleh ego, saya tahu peminat terutama generasi muda memerhati tingkah laku dan penampilan saya. Saya juga bawa nama baik keluarga. Saya nekad untuk tidak lagi pakai emas.
Apakah yang menggerakkan MK untuk berubah? Mengetepikan minat dan kesukaan terhadap perhiasan bersadur emas?
Macam saya cakap tadi, nak memberi inspirasi positif kepada peminat. Saya tahu, ramai yang mengidolakan penyanyi seperti saya. Jadi, kalau boleh saya beri contoh baik, kenapa tidak.
Saya mahu peminat terhibur dan suka dengan muzik. Bukan terpengaruh dengan penampilan yang tidak sejajar dengan hukum Islam. Tetapi saya bercakap untuk diri sendiri, peribadi.
Alang-alang, boleh kongsikan perkembangan kerjaya sekarang? Makin rancak berlakon nampaknya? Memang fokus dunia lakonan ke sekarang?
Tidaklah terlalu fokus dengan lakonan, cuma tawaran itu sentiasa ada, jadi mana yang sesuai saya terima. Nyanyian dan lakonan, dua-dua saya suka. Kepuasan berbeza.
Isteri pun tidak letak apa-apa syarat. Saya sendiri tahu apa yang boleh dan tak. Selepas ini ada beberapa telemovie dan drama yang akan ditayangkan. Single baharu pun, hujung tahun ini Insya-Allah.