Neptun paling terang, hampir dengan bumi malam ini

Neptun paling terang, hampir dengan bumi malam ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Para peminat sains angkasa tempatan berpeluang menyaksikan peristiwa oposisi Neptun yang dijangka dapat disaksikan di Malaysia pada pukul 8.39 malam ini.

Perkara tersebut disahkan pakar falak terkenal tanah air, Prof. Datuk Dr. Mohd. Zambri Zainuddin yang memberitahu, fenomena planet kelapan dari matahari ini kelazimannya berlaku hanya setahun sekali dan agak unik kerana orbit Neptun adalah paling jauh dalam sistem Suria.

Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) menerusi hantarannya pada awal bulan ini mendedahkan mengenai kejadian alamiah itu yang turut dirujuk saintis Islam sebagai Istiqbal Neptun.

Ketika oposisi berlaku, ia akan berada setentang atau sebaris dengan matahari dan bumi manakala keadaan keseluruhan permukaan bakal disinari sepenuhnya oleh matahari.

Bahkan agensi itu menambah, semasa fenomena tahunan tersebut berlangsung, Neptun boleh dilihat dari bumi dengan lebih terang berbanding pada kedudukan orbit yang lain.

Mysa menerangkan situasi ini disebabkan kedudukan planet itu paling hampir dengan bumi iaitu perigree dengan jaraknya 28.9 unit astronomi atau 4,323,400,000 kilometer.

Mengulas lanjut, Mohd. Zambri walau bagaimanapun berkata, peristiwa ini tidak boleh dilihat terus dengan mata kasar namun masih lagi memerlukan bantuan peralatan teleskop kerana memerlukan koordinat yang betul kerana Neptun berada di depan Buruj Pisces dan dekat planet Zuhal.

Justeru ujar beliau, disebabkan isu kedudukan jarak yang jauh daripada bumi, ia hanya akan kelihatan seperti bintik berwarna biru terang menghiasi panorama langit malam.

Neptun atau turut dikenali sebagai Waruna dalam kamus bahasa Melayu klasik, adalah planet keempat terbesar dalam sistem Suria dengan lilitan diameter 49,530 kilometer.

Jika diukur berdasarkan jisim, ia merupakan planet ketiga terbesar iaitu 17 kali saiz bumi dengan mengorbit matahari jarak 30.1 unit astronomi atau 4,450,000,000 kilometer.

Ia berputar dalam tempoh 16.1 jam sahaja setiap hari tetapi mengelilingi orbitnya selama 164.8 tahun dan sekali gus suhu daratan planet ini adalah negatif 218 darjah Celsius.

Namanya itu bersempena dewa laut masyarakat Rom kuno, Neptunus dan simbol astronomi berbentuk senjata trisula serta memiliki 12 bulan dengan Triton yang paling besar.

Secara kebetulan, kejadian oposisi itu terjadi ketika Malaysia mula mengalami fasa peralihan daripada Monsun Barat Daya hari ini yang dijangka berterusan sehingga November. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya