Negeri Sembilan perlu kilang beras

Negeri Sembilan perlu kilang beras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Cadangan Negeri Sembilan mempunyai kilang pengeluaran beras sendiri dianggap langkah ke depan untuk meningkatkan hasil padi di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, Hisyam Yacob berkata, mengambil kira kelua­san tanaman padi di negeri ini dalam sekitar hanya 1,000 sehingga 1,200 hektar, memadai kilang-kilang memproses padi dan pengeluaran beras boleh diwujudkan dengan skala kecil.

HISYAM YACOB

“Memang bagus untuk kilang tersebut diwujudkan kerana sekarang ini isunya sekarang adalah daripada segi logistik kerana padi-padi di Negeri Sembilan dihantar ke kilang-kilang di Me­laka dan Johor untuk diproses, tentunya ia lebih bagus.

“Bagaimanapun, kelulusan untuk mewujudkan kilang padi itu bukan dibawah pihak jabatan tetapi pihak Kawalselia Padi dan Beras. Kita lihat pula daripada segi keluasan tanaman padi di negeri ini adalah agak kurang memberangsangkan dan agak kecil berbanding kawasan lain.

“Mengambil kira kawasan tanaman padi yang kita ada, kilang yang dibina itu boleh dibina dengan saiz yang kecil dan hanya menampung hasil padi dari Negeri Sembilan sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyata­an Exco Kanan kerajaan ne­geri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias bahawa Ne­geri Sembilan perlu mempunyai kilang pengeluaran beras sendiri sebagai salah satu rancangan jangka masa panjang menangani isu kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran.

Hisyam dalam pada itu menjelaskan, cadangan supaya diwujudkan kilang padi di negeri ini juga adalah berkaitan de­ngan hasrat supaya negeri ini dapat mengeluarkan sendiri hasil beras.

“Ya memang, apabila sudah ada kilang itu, potensinya adalah Negeri Sembilan mampu untuk mengeluarkan beras sendiri khususnya untuk rakyat di Negeri Sembilan,” katanya yang turut memberitahu kawasan tanaman padi di Negeri Sembilan ketika ini adalah melibatkan kawasan Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Gemas.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, menjadi satu kerugian sekiranya cadangan untuk mewujudkan kilang padi dan pengeluaran beras tersebut tidak dapat direalisasikan.

“Memang semua hasil pengeluaran padi di Negeri Sembilan termasuk dari Kuala Pilah dihantar ke kilang di Selangor dan Melaka untuk diproses dan dibuat pembungkusan.

“Bagi saya, sesuatu kerugian kalau Negeri Sembilan tiada kilang beras kerana menerusinya, ia boleh meningkatkan pengeluaran beras dalam negeri dan memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” tambahnya.

Mohd. Faizal dalam pada itu memberitahu, ketika ini projek tanaman padi sedang dilaksanakan di sawah seluas kira-kira 32 hektar di Kuala Pilah dan dijangka daerah tersebut akan mengeluarkan beras sendiri dengan jenama Seri Menanti pada bulan Disember nanti.

Sementara itu, pihak yang menguruskan tanaman padi di Kampung Lonek, Jempol iaitu Koperasi Homestay Lonek Jempol Berhad turut bersetuju dengan cadangan berkenaan dan berharap ia dapat diwujudkan secepat mungkin.

Pengerusinya, Mohd. Faiz Mohd. Zin berkata, ketika ini hasil padi di tanah seluas 72 hektar yang diusahakan pihaknya telah dihantar ke kilang di Selangor.

“Dahulu sekitar tahun 1980-an dan 1990-an, Negeri Sembilan memang ada kilang pengeluaran beras sendiri di Seremban, apabila terdapat cadangan untuk diwujudkan semula, memang sangat sesuai dengan situasi hari ini iaitu ketika berlakunya kekurangan beras tempatan di pasaran,” katanya yang turut memberitahu sebanyak 100 tan hasil padi dapat dikeluarkan pihaknya pada musim yang lepas-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya