Naskhah Onpaku menguji minda, emosi - Utusan Malaysia

Naskhah Onpaku menguji minda, emosi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGIKUT filem yang diarah dan ditulis Shugo Fujii tentunya sedar dengan kebolehan pengarah ini menggarap naskhah bergenre seram dan thriller seperti yang dibuktikannya menerusi filem-filemnya sebelum ini seperti Kyoufu-izonsho pada tahun 2006 dan Red Line Crossing (2017). 

Fujii bukan sekadar pengarah luar biasa, malah seorang pemikir yang kritis dan kritikal dalam mengupas isu sosial masyarakat khususnya yang berlaku di negara matahari terbit, Jepun. 

Kali ini, menerusi filem arahan terbarunya, Onpaku, anak kelahiran Tokyo ini mendedahkan satu lagi realiti luar norma yang dibingkiskan menerusi dalam filem tersebut. 

Onpaku berkisar kejadian luar norma yang menimpa Sarah Kwan lakonan Josie Ho yang datang ke Jepun untuk kerja lawatan ke beberapa hartanah di negara tersebut. 

Satu persatu kejadian misteri berlaku kepada Sarah apabila dia memilih untuk menetap di sebuah tempat persinggahan selepas mendapati tempahan yang dibuatnya di sebuah hotel tidak didaftarkan.

JALAN CERITA 

Kebijaksanaan Fujii menggarap sebuah cerita sekali lagi dibuktikan menerusi filem ini. 

Onpaku mengandungi jalan cerita menarik, mudah difahami meskipun sebilangan besar babak dalam filem ini bermain dengan latar masa berbeza. 

Sebagai penonton yang kritis dan kritikal, saya tidak berdepan masalah dalam memahami jalan cerita. 

Malah, kronologi disusun kemas tanpa sebarang kecatatan. Malah, jalan cerita Onpaku boleh disifatkan cukup rencah dengan kupasan pelbagai isu seperti diskriminasi kaum, perlakuan sekelompok pentaksub ajaran sonsang dan banyak lagi. 

Bijaknya Fujii apabila pengarah ini pandai mencetuskan persoalan di awal cerita dan menyusun satu per satu jawapan di pengakhiran.

VISUAL DAN SINEMATOGRAFI 

Bukan yang terbaik dan sebenarnya boleh dipersembahkan dengan lebih baik. Itu pandangan penulis soal visual dan sinematografi filem ini yang dirasakan kurang memberi impak. 

Suntingan, lebih-lebih lagi pada aspek pemilihan gred warna (color grading) gelap kurang menghidupkan dan membuatkan filem ini kelihatan hambar. 

Ditambah pula dengan permainan rakaman sesetengah babak yang dibuat secara hand held sedikit sebanyak mencacatkan aspek sinematografi dan memeningkan penonton. 

Bagaimanapun, pujian harus diberikan buat pengarah sinematografi kerana cuba berkreativiti dan teknik penggambaran berbeza. 

Cuma alangkah lebih baik jika ia dapat diperkemaskan dan dibuat dengan teliti agar tidak kelihatan murahan.

LAKONAN 

Pujian diberikan kepada Josie yang menghidupkan watak Sarah dengan baik. Emosi yang diterjemahkan menerusi persembahan pelakon berusia 48 tahun ini boleh dikatakan menjadi. 

Malah, Josie turut melakukan dengan sendirinya babak-babak genting, seperti jatuh tangga dan berjalan atas serpihan kaca yang mampu menimbulkan keresahan penonton. 

Lakonan Kazuya Takahashi sebagai pegawai penyiasat juga tidak kurang mantapnya. 

Ternyata, Takahashi faham tuntutan karakter yang sentiasa berdepan cabaran dan tekanan dalam merungkai satu persatu misteri dan persoalan yang terkandung dalam penceritaan. 

Keberanian Shugo dalam mengupas isu sensitif dan menggarap beberapa babak ‘sensasi’ juga wajar diberi perhatian. 

Bagaimanapun, pengarah tersebut mengakui berlapang dada ketika disoal tentang pemotongan beberapa babak ‘panas’ seperti rogol, amalan ajaran sesat dan tindakan nenek tua menghisap dada seorang wanita yang asalnya dipaparkan dalam filem ini. 

Pemotongan tersebut tidak sedikit pun mencacatkan jalan cerita malah membuatkan filem ini sesuai ditonton penonton di Malaysia.

KESELURUHAN 

Secara keseluruhan, Onpaku layak diangkat sebagai filem yang baik dari segi jalan ceritanya. 

Tolak tepi soal sinematografi dan kualiti gambar, penceritaan filem ini boleh dikatakan menarik, membuatkan penonton berfikir dan mencetuskan keterujaan untuk mencari pelbagai jawapan kepada persoalan-persoalan yang ditimbulkan. 

Ia mendedahkan penonton tentang kejadian benar-benar berlaku di Jepun yang tentunya tidak diketahui masyarakat Malaysia. 

Onpaku sudah mula ditayangkan pada 31 Ogos lepas di semua pawagam seluruh negara. 

Bagi peminat filem seram, beri peluang kepada diri anda untuk menilai sendiri kehebatan naskhah ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya