PETALING JAYA: Penduduk di beberapa negeri melahirkan kebimbangan dengan bekalan semasa gula bersubsidi apabila mendakwa dikenakan syarat oleh penjual supaya membeli gula premium terlebih dahulu.
Dakwa mereka, tindakan itu memberikan satu bebanan memandangkan harga gula premium lebih tinggi berbanding subsidi.
Tinjauan Utusan Malaysia di KOTA BHARU, KELANTAN mendapati, pengguna mendakwa, untuk mendapatkan gula kasar bersubsidi pada harga RM2.85 sekilogram (kg), mereka perlu membeli gula premium yang berharga RM4.60.
Seorang pengguna, Rohani Zakariah, 53, mendakwa, masalah itu sudah berlarutan sejak sebulan lalu.
Menurutnya, tindakan itu boleh disifatkan sebagai satu cubaan ‘cekik darah’ yang dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab ke atas pengguna.
“Saya merayu kerajaan supaya mengambil langkah segera dengan bertemu pengeluar utama bagi mengatasi masalah ini,” katanya ketika ditemui semalam.
Seorang peniaga kedai makan, Suhaini Yusof, 57, memberitahu, dia berdepan kesukaran untuk mendapatkan gula bersubsidi.
Katanya, apabila dikenakan pembelian bersyarat itu menjadikan kos meningkat dua kali ganda.
“Kos gula meningkat sedangkan saya masih mengekalkan harga minuman yang dijual di kedai makan saya. Ia menjejaskan perniagaan saya kerana selain gula, peniaga juga berdepan dengan masalah kenaikan harga beras dan barang asas lain,” katanya.
Di KUALA NERUS, TERENGGANU pula, kebanyakan peniaga kedai runcit didapati meletakkan syarat pelanggan perlu membeli sekurang-kurangnya sepeket gula putih premium jika ingin mendapatkan gula pasir kasar.
Syarat tersebut didakwa membebankan pengguna apabila terpaksa membeli gula putih premium yang lebih mahal.
Seorang pengguna, Ramli Ali, 38, dari Kampung Batu Enam berkata, dia terkejut apabila peniaga di sebuah kedai runcit tidak mahu menjual gula pasir kasar sekiranya tidak mahu membeli gula putih premium.
Katanya, tindakan peniaga terbabit agak keterlaluan kerana terdapat pelanggan yang tidak mampu untuk membeli gula yang mahal itu.
Seorang lagi pengguna, Karim Selamat, 52, dari Gong Badak berkata, dia percaya tindakan peniaga meletakkan syarat tersebut untuk melariskan jualan gula putih premium yang kurang mendapat sambutan berbanding gula pasir kasar.
Peniaga yang mahu dikenali sebagai Mamat memberitahu, dia terpaksa meletakkan syarat tersebut kerana pihaknya juga disyaratkan membeli gula putih premium sekiranya ingin mendapatkan bekalan gula pasir kasar.
Katanya, pihak pemborong tidak mahu menghantar bekalan gula pasir kasar di premisnya sekiranya tidak membuat tempahan gula putih premium.
Di KUANTAN, PAHANG, pengguna mengadu bekalan gula biasa terlalu terhad serta cepat habis ‘diborong’ kerana menjadi rebutan.
Seorang pengguna, Nurul Aisyah Omar, 32, berkata, namun setakat ini tiada syarat pembelian ditetapkan di kedai mahupun pasar raya.
Di BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG, seorang pengguna, Abdul Wahab Shamsudin, 44, berkata, sebelum ini memang ada syarat pembelian gula dilakukan.
“Tapi apabila pegawai KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) kerap datang pantau, dah tak ada lagi,” katanya.
Menurut bapa kepada lima anak itu, selain KPDN, orang ramai sebagai pengguna juga harus memainkan peranan masing-masing jika mengetahui mengenai perkara tersebut.
Seorang lagi pengguna, Fatimah Ahmad, 58, berharap tidak akan berlaku krisis melibatkan gula dalam masa yang terdekat ini.
Di MELAKA, pembelian gula pasir kasar biasa tidak dikenakan sebarang syarat tambahan oleh peniaga.
Tinjauan di beberapa kedai runcit dan pasar raya besar mendapati, pelanggan tidak dikenakan syarat tertentu seperti perlu membeli gula premium sebelum dibenarkan membeli gula biasa.
Pembantu gerai, Syahirah Johar, 24, berkata, rata-rata kedai runcit atau pasar raya yang dikunjunginya hanya mengenakan syarat had pembelian.
Menurutnya, walaupun terdapat had pembelian, gula pasir biasa tetap diperoleh dengan mudah. – UTUSAN