Nahas 14 kenderaan: Pemandu treler didakwa Isnin ini

Nahas 14 kenderaan: Pemandu treler didakwa Isnin ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemandu lori treler yang terlibat dalam nahas 14 kenderaan sehingga menyebabkan dua mangsa maut di sini Rabu lalu akan didakwa di mahkamah, Isnin ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi hari ini.

A. Asmadi berkata, suspek berusia 29 tahun itu dituduh di Mahkamah Majistret Putrajaya mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Reman dilanjutkan dua hari untuk OKT (Orang Kena Tuduh) terus dibawa ke mahkamah bagi pertuduhan,” katanya.

Sebelum ini, suspek ditahan reman empat hari bermula Khamis lalu bagi membantu siasatan dan sepatutnya perintah tahanan reman berakhir esok.

Dalam nahas di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong itu, dua penunggang motosikal maut selepas dirempuh lori treler bermuatan pasir dan batu selain 14 mangsa lain cedera.

Mangsa yang maut ialah Faris Haziq Abu Bakar, 25, yang juga kakitangan Pos Malaysia dan Yuswar Mohd. Uyus, 39, penjawat awam di Mahkamah Ampang.

Nahas membabitkan 14 buah kenderaan termasuk lima motosikal serta sebuah motosikal pengiring polis, tujuh buah kereta dan dua buah lori.

Siasatan mendapati, nahas berlaku selepas sebuah lori membawa muatan pasir dan batu dari arah Kajang menghala ke Puchong hilang kawalan dan melanggar beberapa buah kenderaan sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Selain itu, sebuah motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) jenis Yamaha FJR 1300 yang sedang membuat penutupan jalan semasa program Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Le Tour De Langkawi 2023 (LTdL) turut terlibat dalam nahas sama. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN