Nahas 12 kenderaan Putrajaya: Konvoi polis pengiring patuh SOP

Nahas 12 kenderaan Putrajaya: Konvoi polis pengiring patuh SOP

LORI treler yang terlibat kemalangan di Jalan Persiaran Utara berhampiran susur keluar Persiaran Timur, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis mengesahkan konvoi beberapa buah motosikal polis pengiring yang terbabit dalam insiden kemalangan di Persiaran Utara, di sini pagi tadi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, anggota polis pengiring itu terbabit dalam Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) bagi raptai mengiringi perlumbaan basikal Tour de Langkawi (LTdL).

Beliau berkata, pelumbaan LTdL itu dijadual berlangsung esok dan dijangka melalui beberapa jalan utama di sekitar Putrajaya termasuk laluan yang terbabit kemalangan itu.

“Anggota terbabit berada di lokasi kejadian bagi mengenal pasti laluan yang terbabit dalam LTdL dan mereka mematuhi tatacara yang ditetapkan.

“Saya tidak pasti kenapa lori berkenaan bertindak menukar laluan dan kemudian merempuh mangsa atau mungkin terleka bermain telefon bimbit.

“Kami dapati pemandu lori itu mampu memberhentikan kenderaannya kerana kenderaan lain di hadapan telah berhenti dengan cara baik selepas diarahkan polis pengiring itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

A ASMADI ABDUL AZIZ

Sistem rakaman litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati, polis pengiring terlebih dahulu memberhentikan kenderaan lain di laluan berkenaan sebelum nahas itu berlaku.

A Asmadi berkata, beliau mengesahkan anggota polis pengiring yang terlibat dalam insiden itu tidak mengalami apa-apa kecederaan dan berjaya menyelamatkan diri.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, lori membawa muatan pasir dan batu itu dipandu agak laju dan pemandu mendakwa tidak sempat menekan brek untuk memberhentikan kenderaan.

“Siasatan awal mendapati, pemandu lori berusia 25 tahun itu tiada rekod kesalahan lalu lintas, namun akan ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Katanya, dua penunggang motosikal yang maut masing-masing berusia 25 dan 39 tahun kini berada di Hospital Putrajaya untuk proses bedah siasat dan identiti mangsa belum dikenal pasti.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.14 pagi itu, 12 buah kenderaan terbabit nahas masing-masing empat motosikal, enam kereta dan dua buah lori.

Kejadian berlaku apabila pemandu lori gagal memperlahankan kenderaan ketika di lokasi kejadian sebelum merempuh beberapa kenderaan lain dan terbabas di laluan bertentangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya