NADMA tumpu 89 daerah lokasi 'panas' banjir

NADMA tumpu 89 daerah lokasi ‘panas’ banjir

ARMIZAN Mohd. Ali bersama peserta Program Humanitarian In Operations Training And Rakan Nadma Disaster Emergency Simulation Exercise (Randex) 2023 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diarah untuk memberi tumpuan terhadap 89 daerah yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ atau lokasi tumpuan banjir khususnya di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor menjelang Monsun Timur Laut (MTL), November ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, NADMA juga perlu memastikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di semua peringkat merangkumi negeri dan daerah berada dalam keadaan siap siaga.

“Saya harap NADMA (dapat) memantau pelaksanaan persiapan ini khususnya di daerah-daerah yang mempunyai risiko besar berhadapan dengan banjir. Kalau lihat dari segi risiko, berdasarkan kepada data MTL yang lepas pada tahun 2022, kita dapati sebanyak 89 daerah di seluruh Malaysia terlibat dengan bencana banjir.

“Daripada 89 daerah itu, ada 77 daerah di mana kejadian banjir itu berulang lebih daripada sekali dalam tempoh MTL iaitu pada bulan November hingga Mac, sama ada di lokaliti kampung yang sama atau pun lokaliti berbeza dalam daerah sama,” katanya selepas merasmikan penutupan Program Humanitarian in Operations Training dan Rakan NADMA Disaster Emergency Simulation Exercise (Randex) 2023 di sini hari ini.

Armizan berkata NADMA turut diarahkan untuk memastikan kesiapsiagaan dari segi komunikasi dan kebersamaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh membantu.

Pada masa sama, beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana yang dipengerusikan pegawai daerah merupakan unit paling asas dalam mekanisma pengurusan bencana negara bagi memantapkan persiapan menghadapi risiko-risiko bencana khususnya pada fasa peralihan monsun sehingga bermulanya MTL.

“Saya telah arahkan NADMA untuk memastikan semua daerah dapat laksanakan mesyuarat jawatankuasa segera termasuk melibatkan semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri setempat sama ada wakil rakyat kerajaan atau pembangkang,” ujarnya.

Armizan memaklumkan, sebanyak RM500 juta bantuan disalurkan kepada mangsa banjir dalam tempoh MTL pada November 2022 sehingga Mac lalu melalui Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata, pada masa ini, sebanyak tujuh pusat penempatan sementara (PPS) dibuka di tujuh daerah melibatkan lima negeri sejak Selasa sehingga semalam.

“Biarpun kita kini berada dalam fasa peralihan monsun dan belum memasuki MTL, tujuh PPS telah dibuka membabitkan seramai 589 mangsa banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN