SERI KEMBANGAN: Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) mengadakan hari terbuka pada 23 dan 24 September ini bagi membolehkan masyarakat menyaksikan sendiri ciptaan dan inovatif peserta-peserta pertandingan MyRapid Hack 2023.
Penganjuran hari terbuka itu menampilkan perkara-perkara yang membantu Rapid Bus mengevolusikan sistem pengangkutan awam dan menyelesaikan masalah yang membelenggu pengguna selama ini.
Pada hari tersebut, sebanyak 20 peserta daripada dua kategori iaitu awam dan pelajar melakukan pembentangan ciptaan serta inovasi yang dihasilkan menggunakan data daripada Rapid Bus di depan khalayak ramai secara terbuka dan tertutup.
Ketua Program, Mohd. Azri Rosli berkata, pihaknya menjangkakan sebanyak 2,000 orang hadir ke Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan, Kuala Lumpur untuk melihat dan terlibat sendiri dalam hari terbuka tersebut.
“Semasa hari terbuka ini, kita akan tunjukkan kepada masyarakat apa yang akan terjadi pada kami dalam 10 tahun akan datang. Kami mahu ubah persepsi masyarakat terutama terhadap pengangkutan awam. Kami tidak mahu ada tanggapan Rapid Bus tidak berbuat apa-apa.
“Sekarang ini kita mahu bersama-sama dengan masyarakat untuk mengubah sistem pengangkutan awam. MyRapid Hack 2023 ini akan menunjukkan kita apa yang boleh dilakukan supaya pengangkutan awam negara menjadi lebih baik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini.
MyRapid Hack 2023 merupakan satu pertandingan yang mengumpulkan pembangun sistem. Mereka didedahkan dengan data-data daripada Rapid Bus untuk mencari solusi dan mencipta inovasi yang akan menyelesaikan masalah dihadapi dalam perkhidmatan pengangkutan awam.
Pertandingan yang dihasilkan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu memberi masa selama tiga minggu iaitu dari 7 September sehingga 24 September ini untuk para peserta menghasilkan idea-idea baharu untuk dimanfaatkan kepada masyarakat.
Pemenang tempat pertama, kedua, ketiga dan visualisi terbaik dalam dua kategori tersebut menerima hadiah wang tunai dengan jumlah pengumpulan hadiah sebanyak RM17,500.
Pelbagai gerai dan pameran turut sama memeriahkan pertandingan tersebut.
Malah, Rapid Bus mengadakan tiga forum yang bertajuk ‘Menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan pertama’, ‘Revolusi industri pengangkutan awam’ dan ‘Memanfaatkan data besar dalam industri pengangkutan’.
Sementara itu, Ketua Pengurusan Strategik dan Hal Ehwal Korporat Rapid Bus, Wong Shi How berkata, idea mengadakan pertandingan seperti MyRapid Hack 2023 adalah datang daripada keinginan Rapid Bus mentransformasikan pengangkutan awam.
“Kita lihat banyak syarikat-syarikat luar yang bagus, mereka semua melakukan pertandingan seperti ini. Jadi saya rasa Rapid Bus perlu adakan satu program sama untuk pengangkutan awam.
“Daripada pertandingan ini, kita boleh mencari dan mengumpul semua idea demi matlamat mengevolusikan sistem pengangkutan awam negara,” katanya.
Tambahnya, MyRapid Hack 2023 bukan sekadar pertandingan untuk mencurahkan idea mengenai pengangkutan awam tetapi merupakan peluang kepada peserta untuk bekerja mahupun berkolaborasi bersama pihaknya.
“Sekiranya ada yang bertanya adakah ini merupakan peluang? Ya, ia mungkin sebab untuk Rapid Bus dan Prasarana sendiri, kami sentiasa mencari mereka yang berbakat untuk bersama kami. Jadi mungkin mereka dapat munculkan diri melalui MyRapid Hack 2023,” ujarnya.
Ketua Teknologi Maklumat Perniagaan dan Pendigitalan Rapid Bus, Suffree Abd. Ghani pula berkata, sudah sampai masanya pihaknya membuka ruang untuk masyarakat memberikan pandangan mereka terhadap pengangkutan awam negara.
Jelasnya, perkara tersebut membantu pihaknya melakukan usaha-usaha yang selari dengan kemahuan dan masalah masyarakat lalu menjamin pengalaman pengguna ketika menaiki bas dapat ditambah baik.
“Melalui MyRapid Hack 2023, orang ramai dapat memberikan pandangan mereka terhadap pengangkutan awam daripada perspektif mereka.
“Rapid Bus mahu ke arah machine learning jadi kita harap dengan data-data yang ada ni dapat membawa kita menuju ke arah pengangkutan awam yang baik pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Perusahaan Bas, P. Premkumar berkata, MyRapid Hack 2023 adalah salah satu inisiatif daripada pihaknya untuk menyokong agenda Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia.
Katanya, idea daripada pemenang-pemenang MyRapid Hack 2023 kemungkinan dikomersialkan dan digunakan untuk operasi Rapid Bus.
“Sekiranya idea peserta ini memuaskan dan boleh dikemas kini serta dipakai maka Rapid Bus akan serap idea tersebut dalam sistem kita.
“Semua ini untuk manfaat masyarakat dan pengguna yang akan menikmati idea-idea tersebut kerana ia memberikan manfaat kepada mereka, bukan sahaja pada Rapid Bus,” jelasnya.
Sehubungan itu, Rapid Bus berharap MyRapid Hack 2023 dan hari terbuka yang bakal diadakan mendapat sambutan oleh masyarakat supaya sistem pengangkutan awam negara terus bangkit serta terus memberi manfaat kepada seluruh pengguna. –UTUSAN