Musim hujan, keselamatan pengunjung air terjun dipantau - Utusan Malaysia

Musim hujan, keselamatan pengunjung air terjun dipantau

PENGUNJUNG beriadah di kawasan Air Terjun Lata Kinjang, Tapah, Perak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Pihak pengurusan kawasan rekreasi Air Terjun Lata Kinjang di sini mengambil langkah waspada terhadap keselamatan pengunjung berikutan hujan lebat sejak kebelakangan ini.

Tok Batin Kampung Orang Asli Lata Kinjang, Rani Bah Ulin berkata, hujan yang kerap sejak kebelakangan ini menyebabkan pertambahan kapasiti air di kawasan rekreasi itu.

Menurutnya, walaupun ke­adaan itu tidak membahayakan pengunjung namun pihak pengurusan pusat rekreasi itu tetap mengambil langkah berjaga-jaga terhadap keselamatan pengunjung terutama jika berlaku kepala air.

“Sejak dua tiga hari ini hujan lebat berlaku di kawasan ini dan ini dapat dilihat apabila kapasiti air terjun bertambah. Namun setakat ini tiada perkara yang tidak diingini berlaku, tiada bencana seperti kepala air atau banjir, semuanya normal.

“Aliran air tidak begitu deras dan terkawal namun kami menyediakan petugas keselamatan untuk memastikan tindakan awal dapat dilakukan jika berlaku perkara yang tidak diingini ketika pengunjung beriadah.

“Jika berlaku aliran yang yang deras secara tiba-tiba atau kelapa air, pihak pengurusan akan segera memaklumkan kepada pengunjung untuk jauh daripada kawasan kejadian,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rani yang juga Setiausaha Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad berkata, pihaknya akan sentiasa memantau kea­daan aliran air di kawasan rekreasi itu untuk mengenal pasti tanda-tanda awal kemungkinan berlaku kepala air.

“Kami juga sentiasa memerhatikan perubahan cuaca yang boleh membawa kepada hujan lebat. Jika berlaku hujan lebat, pengawal yang bertugas akan memaklumkan kepada pengurus operasi seterusnya dimaklumkan kepada pengunjung.

“Kami akan mengingatkan pengunjung supaya mengikut arahan yang diberikan demi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini di kawasan rekreasi itu pernah berlaku kepala air namun tidak melibatkan kecederaan awam.

“Kita juga mengingatkan pengunjung mengenai kawasan yang tidak dibenarkan untuk melakukan aktiviti riadah iaitu di kawasan batu licin kerana ini boleh menyumbang kepada kecederaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya