ARAU: Sekumpulan 60 murid dari Program Pendidikan Khas Integrasi (PKKI) (pembelajaran) Sekolah Tengku Budriah (STB) di sini mencuri tumpuan apabila mempamerkan formasi 66 tahun kemerdekaan negara.
Mereka yang dibantu 11 guru dan enam pembantu pengurusan murid berkenaan mengambil masa kira-kira 30 minit bagi proses membentuk formasi berkenaan.
Kesemua kanak-kanak pendidikan khas dalam kalangan mereka yang mengalami masalah pembelajaran, autisme dan sindrom down itu cukup berdisplin untuk merealisisasikan pembentukan formasi berbentuk 66 sempena tahun kemerdekaan negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penolong Kanan Pendidikan Khas STB, Rodziah Chin berkata, mereka menyahut seruan Jabatan Pendidikan dalam menyemarakkan sambutan minggu penutup bulan kebangsaan itu.
Katanya, dia cukup kagum dengan kesungguhan murid bersama guru mengambil bahagian menjayakan aktiviti berkenaan.
“Alhamdulilah dengan kerjasama semua guru dan murid dari PKKI ini, mereka berjaya membentuk formasi 66 tahun kemerdekaan negara itu dengan jayanya.
“Malah, murid-murid sendiri juga cukup bersemangat memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan tersebut dengan cara yang tersendiri iaitu melalui aktiviti pembentukan formasi berkenaan,” katanya.
Tambahnya, formasi berkenaan adalah yang pertama kali dilakukan oleh murid-murid pendidikan sekolah berkenaan.
“Di dalam kelas pula, mereka juga menghias sudut-sudut kemerdekaan dengan Jalur Gemilang dan pelbagai lagi dalam menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan itu,” katanya.
Dalam pada itu, sepanjang minggu ini, murid-murid juga memakai baju bertemakan Jalur Gemilang atau tradisional bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan warga di sekolah tersebut.-UTUSAN