Murid, guru murah hati jamu 15 jenis buah-buahan di sekolah

Murid, guru murah hati jamu 15 jenis buah-buahan di sekolah

SEBAHAGIAN murid sedang mendapatkan rambutan sempena pesta buah-buahan di Sekolah Kebangsaan Lubok Kulit, Lipis, hari ini. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Musim buah-buahan tahun ini cukup bermakna apabila seramai 195 orang murid bersama 18 guru dan kakitangan pengurusan berkongsi rezeki dengan mengadakan pesta menjamu buah-buahan di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Kulit, dekat sini hari ini.

Lebih menarik sebanyak 15 jenis buah-buahan bermusim dan bukan bermusim dibawa oleh murid, guru dan kakitangan di situ seperti durian kampung, langsat, duku, dokong, manggis, mastar, kundang, mata kucing, binjai, kristal (matoa), rambai, salak, jambu, buah naga dan betik.

Guru Besar SK Lubok Kulit, Halimaton Hashim menjelaskan, buah-buahan tersebut merupakan hasil tanaman di kebun ibu bapa dan penjaga murid serta sebahagian sumbangan guru dan kakitangan yang sangat ‘menjadi’ (lebat) pada musim ini termasuk bukan bermusim.

“Oleh kerana buah-buahan sangat lebat di kebun berkenaan malahan sememangnya Kampung Lubok Kulit dan kawasan berdekatan merupakan pengeluar utama (buah-buahan) di daerah ini, kita merancang untuk mengadakan pesta buah-buahan di sekolah hari ini.

“Program ini dapat menitip nilai murni iaitu berkongsi rezeki dalam kalangan murid, guru dan kakitangan pengurusan di samping mengeratkan hubungan sesama warga sekolah ini.

“Pada masa yang sama, kita dapat mendidik murid agar sentiasa bermurah hati selain membantu kalangan rakan (murid) yang tidak mempunyai dusun buah-buahan supaya dapat menikmati bersama,” katanya di SK Lubok Kulit dekat sini hari ini.

Menurut Halimaton, pesta makan buah-buahan itu berlangsung hampir sejam dan warga sekolah begitu teruja dan berpuas hati kerana dapat menikmati kelazatan pelbagai jenis tanaman (buah-buahan) daripada kebun kampung tersebut.

Sementara itu, seorang murid Tahun Enam, Aina Norhazimah Abdul Razak, 12, berkata, dia teruja apabila guru memberitahu semua murid membawa buah-buahan untuk berjamu di sekolah.

“Saya terkejut apabila melihat sebanyak 15 jenis buah-buahan bermusim dan luar musim berlonggok di atas meja yang dibawa oleh rakan, guru dan kaki tangan di sini.

“Hal ini membuktikan negara kita kaya dengan buah-buahan tempatan yang sungguh lazat dan mampu dikomersial ke luar negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya