Mualaf wanita tidak dibenar mulakan semakan kehakiman

Mualaf wanita tidak dibenar mulakan semakan kehakiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang mualaf wanita dari Sarawak gagal mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi di sini untuk memulakan semakan kehakiman bagi membatalkan namanya daripada Daftar Mualaf.

Perkara itu diputuskan oleh Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid selepas membenarkan bantahan awal Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan wanita tersebut dengan kos RM3,000 perlu dibayar kepada AGC.

Peguam Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md. Ali memberitahu wakil media, mahkamah menolak permohonan itu atas alasan ia tidak tertakluk kepada semakan kehakiman berdasarkan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan. 

“Hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Prosiding tersebut turut dihadiri peguam Iqbal Harith Liang mewakili wanita berusia 26 tahun itu.

Mualaf tersebut memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 20 April lalu dengan menamakan Pendaftar Mualaf Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Pemohon yang dilahirkan pada 9 Julai 1997 dan ibu serta bapanya beragama Kristian, memohon pengisytiharan bahawa Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) memberikan bidang kuasa kepada responden pertama (Pendaftar Mualaf) untuk mengisytiharkan bahawa seseorang itu bukan lagi beragama Islam.

Wanita itu juga memohon responden pertama mempertimbangkan supaya namanya dibatalkan daripada Daftar Mualaf serta-merta.

Dia turut memohon pengisytiharan bahawa penolakan atau kelewatan responden pertama memutuskan permohonannya dalam surat bertarikh 30 Januari, 20 Februari dan 17 Mac 2023 adalah tidak rasional dan tidak munasabah.

Dalam afidavit sokongannya, wanita itu berkata pada awal 2017, dia bertemu seorang lelaki Melayu beragama Islam yang mempelawanya untuk berkahwin.

Ujarnya, bagi membolehkan perkahwinan mereka dari sudut pentadbiran, beliau memeluk agama Islam pada 18 Ogos 2017 dan didaftarkan sebagai mualaf oleh responden pertama.

Bagaimanapun pada 27 Januari 2022, pemohon telah mengikrarkan afidavit bahawa beliau mahu keluar daripada agama Islam dan kembali menganut Kristian.

Pada 30 Januari, 20 Februari dan 17 Mac lalu, pemohon melalui peguamnya telah mengeluarkan surat kepada responden pertama untuk memohon namanya dibatalkan daripada Daftar Mualaf dan pada tarikh pemfailan permohonan itu, responden pertama belum memberikan sebarang keputusan berhubung permohonannya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya