MSAM 2023: RM1.4 juta hadiah jadi rebutan termasuk sebuah rumah teres

MSAM 2023: RM1.4 juta hadiah jadi rebutan termasuk sebuah rumah teres

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) kembali pada tahun ini dengan lebih meriah selain menawarkan hadiah yang lebih lumayan termasuk sebuah rumah teres satu tingkat di Setia Fontaines, di sini.

Menurut Permodalan Nasional Berhad (PNB) selaku penganjur utama, hadiah tersebut merupakan sebahagian daripada tarikan utama untuk pengunjung yang berdaftar dengan aplikasi PNB Events.

Katanya, selain kediaman impian, pengunjung bertuah juga berpeluang membawa pulang sebuah kereta elektrik jenis BYD Atto 3 Standard Range, Toyota Vios 1.5G AT, Perodua Axia 1.0L AV, motosikal Yamaha MT25 serta telefon pintar berjenama Apple iPhone 14 Pro Max dan lain-lain hadiah menarik.

Jelas PNB, selain itu, lebih 1,700 hadiah harian turut sedia untuk dimenangi dengan nilai keseluruhan hadiah dianggarkan mencecah RM1.4 juta.

“Pada tahun ini, MSAM 2023 akan dilangsungkan di Bertam, Pulau Pinang bermula pada 30 September hingga 8 Oktober ini.

“Sepanjang berlangsungnya karnival berkenaan, pelbagai aktiviti pendidikan, pelaburan dan pameran yang melibatkan kira-kira 50 pempamer terdiri daripada syarikat-syarikat Kumpulan PNB, ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), badan kawal selia dan agensi kerajaan negeri akan diadakan.

“Uniknya, MSAM kali ini juga akan berlangsung secara hibrid dan pengunjung yang tidak dapat hadir boleh mengikutinya secara langsung di laman media sosial rasmi MSAM iaitu di Facebook dan Youtube.

“Pengenalan karnival secara hibrid ini juga selaras dengan aspirasi PNB untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya di sini, hari ini.

Tambah PNB, laman Facebook MSAM boleh diakses menerusi pautan https://www.facebook.com/MingguSahamAmanahMalaysia​ manakala mereka yang mahu mengakses karnival itu secara digital menerusi laman Youtube boleh berbuat demikian di pautan https://www.youtube.com/@MingguSahamAmanahMalaysia.

Di samping menawarkan pelbagai hadiah menarik kata PNB, MSAM turut diserikan dengan kehadiran beberapa artis dan selebriti tempatan sepanjang karnival itu berlangsung.

Katanya, antara nama yang dijangka hadir termasuk Izzue Islam, Black, Ella, Estranged, Naqiu, Iman Troye, Ezad Lazim, Nabila Razali, Marsha Milan, Aweera, Wany Hasrita dan Atu Zero.

“Selari dengan tema MSAM kali ini iaitu ‘Bijak Melabur, Santai Berhibur’, orang ramai dijemput hadir secara beramai-ramai kerana masuk adalah percuma,” ujarnya.

Dalam pada itu, kelainan lain yang akan ditampilkan pada MSAM kali ini ialah penerapan elemen STEM atau Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik sepanjang karnival berlangsung.

“Elemen ini akan diterapkan dalam gerai pameran, aktiviti serta kandungan dan matlamat kami adalah bagi memberi inspirasi kepada golongan muda untuk mengejar ilmu pengetahuan dan pendidikan yang lebih tinggi.

“Justeru, kami berharap agar para pengunjung dan penonton akan mendapat inspirasi serta dipenuhi dengan pengetahuan dan pembelajaran baharu apabila meninggalkan acara ini,” kata PNB.

Terdahulu, PNB turut mengumumkan rakan korporat mereka yang akan bekerjasama sepanjang MSAM tersebut berlangsung.

​Antara rakan korporat itu termasuk S P Setia Berhad, Maybank, Sime Darby Plantation Berhad, UMW Holdings Berhad selaku Rakan Premier.

Selain itu, rakan korporat lain yang akan bekerjasama ialah Rakan Utama Sime Darby Berhad, Sime Darby Property Berhad, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua), MNRB Holdings Berhad, Malaysia Industrial Development Finance Berhad (MIDF) serta Rakan Duopharma Biotech Berhad dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd.

Sebagai pembuka tirai kepada penganjuran MSAM 2023, “Program Bersama Kumpulan PNB” telah diadakan baru-baru ini dengana menyantuni komuniti setempat di Kampung Permatang Buluh, Kepada Batas.

Selain untuk berkongsi ilmu pengurusan kewangan dan pelaburan, Kumpulan PNB turut mendekati masyarakat dan membantu memenuhi keperluan mereka.

Melalui program tersebut, PNB telah melaksanakan tiga inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu:

  1. Menyumbang dua buah komputer kegunaan semula kepada Perpustakaan Desa Permatang Buluh;
  2. Melaksanakan projek Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) untuk Sekolah Agama Rakyat Permatang Buluh; dan
  3. Mengadakan progam kitar semula minyak masak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya