KLANG: Koc khas wanita akan diperkenalkan pada perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) sebagai sistem pengangkutan awam transit pertama mengamalkan konsep tersebut bermula hujung bulan ini.
Pengasingan koc untuk menjamin keselamatan dan keselesaan penumpang wanita itu akan dimulakan dengan MRT Laluan Kajang (SBK) melalui platform khas di setiap stesen sepanjang laluan tersebut.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelaksanaan konsep tersebut bukan perkara baharu sebaliknya sudah pun dilaksanakan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) lebih 10 tahun lalu melalui sistem Komuter bagi laluan antara bandar.
“Kita tahu keadaan dalam tren apabila tiba waktu puncak begitu ramai, jarak antara penumpang itu sangat sempit kadang kala memang ada sentuhan fizikal antara satu sama lain.
“Jadi, memang tak ada ruang langsung, untuk wanita kita faham mereka tidak selesa dan mula rasa tidak selamat dan sebagainya, jadi untuk memastikan keselamatan mereka dan keselesaan, sebab itulah kita perkenalkan koc khas,” katanya ketika ditemui pemberita pada Kongres Kebangsaan Wanita DAP, hari ini.
Beliau menambah, pelaksanaan koc wanita itu tidak melibatkan penambahan atau pengubahsuaian tren MRT, sebaliknya salah satu daripada empat lokomotif berkenaan akan dikhaskan untuk kumpulan tersebut.
Dalam pada itu, Anthony Loke memaklumkan kepentingan pelaksanaan konsep berkenaan bagi mengelakkan berlaku gangguan seksual ketika berada dalam tren terutama pada waktu puncak.
“Untuk transit dalam bandar umpamanya MRT dan LRT adalah yang pertama kali, ia pastinya memberi cabaran besar kepada sistem transit sebab pergerakan penumpang yang ramai dan cepat.
“Memang ada cabaran dari segi operasi, tetapi itu tidak menghalang kita melakukan percubaan, seperti yang saya katakan, antara isu yang kita lihat meningkat dari segi trend adalah aduan berkenaan gangguan seksual dalam tren, mereka bimbang,” ujarnya. – UTUSAN