MQAIC 2023 platform tingkat kualiti pendidikan tinggi global

MQAIC 2023 platform tingkat kualiti pendidikan tinggi global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) akan menganjurkan MQA International Conference 2023 (MQAIC 2023) di Kota Kinabalu, Sabah pada 7 dan 8 November 2023.

Menghimpunkan pakar jaminan kualiti daripada badan jaminan kualiti antarabangsa, MQAIC 2023 bakal menjadi platform dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di persada global.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, persidangan antarabangsa MQA yang julung kali akan diadakan di negeri Sabah itu bertujuan menggalakkan pertukaran idea dan kerjasama dalam bidang pendidikan dan latihan dalam kalangan peserta.

Mohammad Shatar Sabran

Beliau berkata, empat sesi forum yang menampilkan panelis dan pakar dalam jaminan kualiti akan turut diadakan sebagai intipati kepada persidangan itu nanti.

“Lebih istimewa, MQAIC2023 akan menampilkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman sebagai pengucaptama.

“Persidangan yang dianjurkan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini akan memberi fokus bukan hanya kepada cabaran dalam jaminan kualiti pendidikan tinggi, malah menjadi medan perkongsian idea dan maklumat mengenai inisiatif terkini dalam arena pendidikan tinggi antarabangsa,” katanya.

Dengan tema ‘Curating Future Quality for Higher Education’, dijangkakan seramai 300 peserta akan turut serta ke persidangan antarabangsa ini membabitkan pakar dan pegawai jaminan kualiti, pengurusan tertinggi universiti, ahli akademik, persatuan institusi pendidikan tinggi, wakil industri dan pemimpin pelajar.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, dalam era Revolusi Industri 4.0 dan Society 5.0, sesebuah organisasi tidak boleh bekerja sendirian dan memerlukan jaringan global yang kukuh untuk terus maju.

Menyedari hakikat itu, beliau berkata, pihaknya turut memanfaatkan pertemuan dengan beberapa badan jaminan kualiti antarabangsa di persidangan itu untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama strategik serta mendapatkan pengiktirafan bersama.

“Kami dijadual akan menandatangani dua MoU iaitu masing-masing dengan Higher Education Evaluation & Accreditation Council of Taiwan dan Independent Agency for Accreditation and Rating, Kazakhstan dalam memperkukuh hubungan dua hala serta merancakkan lagi aktiviti perkongsian maklumat berkaitan jaminan kualiti global,” katanya.

Bagi yang berminat untuk menyertai persidangan ini boleh mendaftar sekarang dengan mengisi e-borang menerusi pautan https://www.cognitoforms.com/MalaysianQualificationsAgency/MQAIC2023RegistrationOfInterest

Sebarang maklumat lanjut, boleh didapati di portal rasmi persidangan antarabangsa ini iaitu www.mqaic2023.com. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN