PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar akan bertemu dengan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee dalam masa terdekat.
Mohd Naim berkata, pertemuan itu bagi memberi penjelasan mengenai isu tafsiran al-Quran membabitkan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP itu ketika ini.
“Kita akan jumpa dalam masa terdekat, nanti saya akan maklumkan perkara itu.
“Pertemuan itu juga akan menyentuh mengenai tafsiran al-Quran dan saya ingin jelaskan bahawa ada disiplin tertentu untuk mentafsir al-Quran,” katanya dalam sidang akhbar selepas sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1445H/2023 di sini, hari ini.
Katanya, pertemuan itu adalah satu pendekatan harmoni dan penting bagi memberi penjelasan sebenar mengenai salah tafsir dan fahaman dalam masyarakat mengenai agama Islam.
Pada masa sama, Mohd Na’im berkata, beliau turut menggalakkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk kerap mengadakan sesi libat urus dengan orang bukan Islam di negara ini.
“Insya-Allah kita harap orang bukan Islam dapat terima agama Islam ini sebagai agama yang rahmah,” katanya.
Katanya, beliau sudah melihat video membabitkan Howard itu dan mendapati Ahli Parlimen itu tidak mentafsir ayat al-Quran, sebaliknya hanya membaca maksud ayat berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Mohd Na’im juga mahu mufti-mufti di setiap negeri memainkan peranan utama dalam isu berkenaan kerana ia membabitkan soal hukum.
“Mufti-mufti mempunyai kepakaran dalam bidang itu dan mereka seterusnya akan memberi penjelasan sebenar kepada komuniti dan masyarakat,” katanya.
Selain itu, Mohd Na’im juga akan bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan bagi mewujudkan semula Jawatankuasa Harmoni sebagai jurucakap untuk menjelaskan kepada orang bukan Islam mengenai Islam itu sendiri.
Katanya, jawatankuasa itu akan bermesyuarat kali pertama bulan depan dan dianggotai pemimpin-pemimpin besar agama yang dihormati di negara ini.
Jelasnya lagi, inisiatif ini adalah antara usaha dilakukan Kerajaan Perpaduan bagi menangani islamofobia di negara ini selain inisiatif cetakan dan edaran sejuta al-Quran yang digerakkan ketika ini.
Sebelum ini, Howard tampil memohon maaf secara terbuka berhubung itu susulan saranan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menegurnya supaya tidak mengulangi perbuatan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran. – UTUSAN