Mohamed Azmin nafi fitnah pengimport telur

Mohamed Azmin nafi fitnah pengimport telur

MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan beliau memfitnah sebuah syarikat pengimport telur, sebaliknya hanya mempersoal dasar kerajaan yang sebelum ini berjanji untuk melaksanakan tender terbuka bagi semua perolehan kerajaan.

Malah syarikat terbabit, J&E Advance Tech Sdn. Bhd. berdasarkan penyataan tuntutannya turut menyatakan bahawa nama syarikat terbabit tidak pernah disebut pada Ceramah Perdana di sebuah dewan di Taman Melewar di sini pada 11 Mac lalu.

Mohamed Azmin berkata, selaku Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) komen yang dibuat adalah wajar kerana ia melibatkan kepentingan awam.

“Pada setiap masa material, pihak-pihak yang dirujuk defendan (Mohamed Azmin) adalah Kerajaan Malaysia dan satu individu bernama Deepak. Defendan sebagai Ketua Penerangan Perikatan Nasional sekadar mempersoalkan dasar Kerajaan Malaysia yang telah berjanji untuk membuat tender terbuka untuk semua perolehan Kerajaan.

“Komen tersebut merupakan satu kepentingan awam kerana ia melibatkan janji-janji kerajaan yang tidak ditepati. Komen tersebut adalah penting kepada masyarakat bagi membolehkan masyarakat menilai dan menggunakan hak mereka sebagai pengundi semasa pilihan raya negeri yang akan datang,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang itu berkata demikian dalam pembelaannya yang difailkan pada 27 Julai lalu bagi menjawab saman fitnah yang dikemukakan oleh J&E Advance Tech.

Pada 12 April lalu, J&E Advance Tech memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berhubung ucapan berbaur fitnah yang mendakwa syarikat itu memperoleh kontrak secara rundingan terus daripada kerajaan untuk mengimport telur dari India.

Sementara itu, berdasarkan jawapan syarikat terbabit terhadap pembelaan Mohamed Azmin menyatakan, tingkah laku defendan adalah jelas tidak menghiraukan kesan dalam ucapannya sehingga menjejas nama dan reputasi plaintif (J&E Advance Tech) termasuk di khalayak orang ramai dan peniaga tempatan serta luar negara.

“Sebagai tambahan, ia mengakibatkan penamatan kontrak pengimportan telur itu yang mana perniagaan plaintif terjejas dan mengalami kerugian,”kata syarikat terbabit.

Dalam pernyataan tuntutannya, syarikat itu mendakwa Mohamed Azmin (defendan) membuat dan menerbitkan satu ucapan memfitnah syarikat berkenaan dalam “Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman” di sebuah dewan di Taman Melewar di sini pada 11 Mac lalu.

Menurut syarikat itu yang bertindak selaku plaintif, ucapan itu turut diterbitkan semula oleh media cetak dan elektronik di dalam dan luar negara termasuk YouTube.

Katanya, walaupun nama syarikat itu tidak dinyatakan di dalam ucapan berkenaan, tetapi jelas merujuk kepada plaintif kerana ia satu-satunya syarikat Malaysia yang dibenarkan mengimport telur dari India seperti diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam sidang Parlimen pada 8 Mac lalu.

Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu diterbitkan atau diterbitkan semula oleh defendan walaupun mempunyai pengetahuan bahawa syarikat berkenaan hanya mengimport telur dari India sebagai langkah sementara.

Ia sebagai bekalan kepada pasar raya tempatan, pasar mini dan pasar raya ketika musim perayaan bagi membantu menyelesaikan masalah kekurangan telur yang serius di pasaran mulai Oktober 2022.

Kata syarikat itu lagi, kenyataan berkenaan tidak benar dan melampau kerana ia tidak pernah terbabit dan tidak mempunyai kaitan dengan apa-apa rundingan terus dengan kerajaan.

Plaintif mendakwa tindakan Mohamed Azmin itu berniat jahat dan bertujuan untuk menjatuhkan imej serta reputasinya selain untuk mencapai publisiti murahan dan kepentingan politik.

Sehubungan itu, ia memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menerbitkan ucapan fitnah itu dan memohon ganti rugi am, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk teruk, ganti rugi teladan, faedah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN