ISKANDAR PUTERI: Kehadiran si bulus pada Festival Majestic Johor (MJF) 2023 di Puteri Harbour, di sini mencuri tumpuan para pengunjung.
Pengarah Urusan Growfeed Trading, Mohd. Aiman Che Azmi berkata, pihaknya memang membawa kucing-kucing yang dipelihara sebagai testimoni tarikan kepada orang ramai yang singgah di reruai yang menjual produk makanan tambahan dari Korea.
“Semua kucing ini milik saya. Produk yang kami jual ini sudah sembilan tahun berada dalam pasaran dan kami promosikan menerusi ekspo dan jualan ejen. Ibu pejabat kami di Alor Setar, Kedah dan ada cawangan-cawangan lain, antaranya di Kepala Batas, Bukit Kayu Hitam dan Kajang, Selangor.
“Produk kami tawarkan ini untuk ternakan termasuk haiwan peliharaan seperti kucing. Dengan menggunakan produk ini akan dapat hasilkan ternakan tanpa bahan kimia seperti ayam boleh hasilkan ayam organik,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Katanya, produk berkenaan pada awalnya diambil dari pihak ketiga sebelum syarikatnya mendapat pengiktirafan dari Korea selepas setahun mengusahakannya, sekali gus membolehkannya menjadi pengedar sah hingga kini.
Antara manfaat produk Growfeed itu mampu meningkatkan antibodi haiwan belaan, menghilangkan bau najis dan ammonia.
“Bagi pencinta kucing yang berdepan masalah bau najis sehingga memeningkan kepala, juga menjadi gangguan buat jiran boleh cuba produk ini.
Sempena MJF 2023 ini kita fokus kepada kucing kerana senang bawa dan jika di luar kita boleh bawa ternakan-ternakan lain sebagai testimoni. Tambahan pula, kami memang suka kucing dan ada 30 ekor kucing pelbagai baka yang kami pelihara di cawangan kami di Kajang.
“Syukur hingga kini respons yang diterima daripada pelanggan juga amat baik sebab itu kita mampu bertahan selama sembilan tahun. Kita turut memberi jaminan selama tiga hari, iaitu hari ketiga atau keempat masalah bau najis akan selesai selepas menggunakan produk ini,” katanya.-UTUSAN