Mitra, Google meterai kerjasama bekal 6,000 laptop kepada 525 SJKT

Mitra, Google meterai kerjasama bekal 6,000 laptop kepada 525 SJKT

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) bakal bekerjasama dengan firma terkenal, Google Malaysia bagi membekalkan sejumlah 6,000 unit bantuan komputer riba.

Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khasnya, Datuk R. Ramanan berkata, menerusi usaha terbaharu itu, ia akan diagihkan kepada sejumlah 525 buah sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara dengan anggaran kos RM3 juta bagi memberikan akses lebih luas kepada murid India dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat.

Inisiatif baharu itu ujarnya, membolehkan makmal komputer di SJKT dapat menyediakan peluang penyertaan pelajar kaum tersebut terutama dalam kalangan keluarga miskin.

“Saya berharap kerja penghantaran laptop versi diperbaharui tersebut akan dapat bermula pantas secara berperingkat pada minggu depan juga sepanjang bulan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Komputer riba itu ujarnya, akan dipasang dengan perisian Google Chrome OS Flex yang membolehkan tempoh jangka hayat peranti tersebut mampu bertahan sehingga 10 tahun.

Selain itu, menyentuh mengenai perkembangan Program Pembangunan Sosioekonomi Bersasar, beliau berkata, setakat semalam terdapat 36 kawasan Parlimen sudah dibantu melibatkan peruntukan sebanyak RM3.59 juta disalurkan kepada pusat khidmat wakil rakyat di kawasan yang memiliki kepadatan tinggi populasi komuniti India.

Sejumlah 11 permohonan tambah Ramanan, dengan nilai RM1.1 juta pula dalam proses pembayaran dan dijangka dapat diselesaikan pada minggu minggu pertama bulan ini juga.

Mitra menjangkakan kesemua 72 kawasan Parlimen yang dikenal pasti ramai masyarakat India menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM7.2 juta menjelang akhir tahun ini.

Setiap pusat khidmat berkenaan, akan memperoleh dana sebanyak RM100,000 untuk segala kerja pembangunan modal insan, kebajikan dan kerohanian penduduk India setempat.

Pada masa ini, daerah yang paling tinggi komuniti minoriti tersebut ialah Petaling, Selangor dengan 189,378 orang diikuti Johor Bahru, Johor (126,803) dan Kinta, Perak (104,831). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya