Mesyuarat jemaah menteri tidak bincang rombakan Kabinet

Mesyuarat jemaah menteri tidak bincang rombakan Kabinet

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Spekulasi berhubung rombakan Kabinet yang pertama Kerajaan Perpaduan dalam masa terdekat nampaknya tidak berlaku hari ini.

Malahan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang juga jurucakap kerajaan dalam jawapan ringkas berkata, jemaah menteri tidak ada membincangkan isu itu.

“Mengenai (desas-desus) ada berlaku rombakan menteri, tiada dibincangkan mesyuarat mingguan Kabinet pada hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya di sini.

Isu rombakan menjadi polemik susulan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kosong kerana kematian penyandang, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan portfolio berkenaan dikatakan bakal diisi pemimpin kanan daripada Parti Amanah Negara sebagai memenuhi kuota parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan mungkin akan menggugurkan beberapa menteri atau timbalan menteri yang dianggap kurang cemerlang.

Dalam perkembangan berlainan, Fahmi berkata, kerajaan belum berhasrat mengembalikan Akta Antiberita Tidak Benar yang dimansuhkan pentadbiran terdahulu pada 2018, malah ia juga tidak dibicangkan menerusi mesyuarat mingguan Kabinet hari ini.

Fahmi berkata, pihak kementeriannya ada beberapa usaha serius dalam mengekang penularan berita fitnah yang semakin berleluasa tanpa kawalan ketika ini antaranya pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun ia masih belum lagi dimuktamadkan.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa pihak kerajaan tidak pernah menyekat kebebasan berita melibatkan petugas media tempatan, malah belum ada lagi menangkap wartawan.

Namun apa yang berlaku, katanya, mereka sekadar memberikan keterangan kepada pihak polis bagi memastikan tiada isu pelanggaran perkara yang sensitif seperti Akta Rahsia Rasmi 1972. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya