KLANG: Generasi Z mengharapkan perpaduan dalam kalangan kaum di Malaysia akan lebih utuh pada tahun mendatang, selari dengan kemajuan negara yang ingin dikecapi kerana ia menjadi tunjang kekuatan bagi menghadapi pelbagai cabaran.
Malah, kekuatan perpaduan dalam kalangan masyarakat dianggap sebagai tunjang utama bagi mana-mana negara sekalipun untuk memastikan pelbagai kemelut seperti ekonomi atau krisis kesihatan dapat diatasi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist Klang, Faiqah Faqihah Adnan berkata, dia amat menghargai perpaduan yang terbentuk sejak zaman dahulu untuk memastikan Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.
“Kita yang hidup pada masa kini perlu menzahirkan penghargaan kepada orang terdahulu atas pengorbanan dan jasa mereka ini. Justeru, kita harus bertanggungjawab untuk mengekalkan perpaduan sampai bila-bila.
“Kita tidak boleh regangkan perpaduan sesama kaum kerana ia boleh meruntuhkan institusi kenegaraan yang terbentuk pada masa kini,” katanya pada program ‘Ini Warisan Kita’ di SMK Perempuan Methodist Klang.
Bagi ketua pengawas sekolah itu, D. Sylviya Faustina, 17, pelaksanaan program ‘Ini Warisan Kita’ adalah salah satu langkah tepat untuk rakyat negara ini mengenali budaya serta adat resam sesebuah kaum, yang terdiri daripada pelbagai suku kaum.
Apabila mengenali sesebuah kaum itu menurutnya akan mengeratkan lagi silaturrahim sesama insan, lantas dapat sikap hormat sesama kaum akan dapat dipertingkatkan.
“Contohnya, kalau ada seseorang individu Melayu itu tahu apa pantang larang dalam agama Hindu, mungkin dia tidak akan lagi mempertikaikan perkara yang dibuat rakannya yang berbangsa India.
“Saya yakin generasi sekarang ini juga boleh bersatu padu seperti nenek moyang kita,” ujarnya yang bercita-cita mahu menjadi seorang peguam.
Sementara itu, pelajar sekolah sama dari suku kaum Dusun, Daphne Ewendyana Ricedlend, 17, memberitahu dia tidak pernah menghadapi masalah untuk berkawan dengan rakannya yang berasal daripada Semenanjung Malaysia kerana mereka tidak mendiskriminasinya.
Malah menurutnya, rakan-rakannya akan mengajaknya ke rumah mereka sekiranya terdapat hari perayaan yang disambut mereka, mengikut agama masing-masing.
“Saya memang lahir di Klang setelah ibu bapa berpindah ke Semenanjung Malaysia lebih 20 tahun untuk mencari rezeki. Saya akan pulang ke Sabah sekali setiap tahun dan bersyukur masih mempunyai hubungan baik dengan saudara walaupun jarang balik kampung,” katanya. – UTUSAN