BALING: Seorang penduduk terkejut apabila pukat yang dipasang sepupunya rupa-rupanya tertangkap seekor ular sawa seberat 80 kilogram (kg) di Sungai Kuala Muda berhampiran Kampung Sungai Tembak, Kuala Ketil, di sini.
Noriza Othman, 51, berkata, sepupunya, Ramli Che Teh, 48, yang sering memukat ikan di sungai itu meninggalkan peralatan berkenaan semalaman bagi membolehkan ikan-ikan sungai terperangkap.
“Namun ketika hendak melihat pukatnya kira-kira pukul 10.30 pagi semalam, didapati ada seekor ular sawa besar dalam pukat tersebut yang mana pukat itu juga sudah berada berdekatan tebing disebabkan pergerakan ular terbabit.
“Dia menghubungi saya untuk beritahu tentang ular itu dan saya pula terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk membantu menangkap ular terbabit,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Menurut Noriza, sepupunya juga pernah menemukan seekor ular sawa yang lebih besar dengan berat hampir 150kg berhampiran kawasan tersebut, sebelum ini.
“Ular tersebut dijumpai di kawasan kebun getah ketika dia sedang menebas semak, mereka membawanya pulang ke rumah dengan lori sebelum pihak Zoo Melaka datang mengambil reptilia itu,” katanya.
Sementara itu, Pegawai APM Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, hujan lebat sejak kebelakangan ini dipercayai menjadi punca semakin banyak ular bersaiz besar keluar daripada sarangnya.
“APM kerap menerima laporan kecemasan berhubung kemunculan ular yang pelbagai spesis dan berbahaya dengan penemuan ular sawa seberat kira-kira 80kg ini adalah terbaharu yang mana panjangnya tujuh meter.
“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 11 pagi dan tiba di lokasi 35 minit kemudian, sebaik sampai operasi menangkap reptilia tersebut dilakukan dengan menggunakan peralatan khas,” katanya.
Tambah beliau, ular tersebut dibawa balik ke pejabat APM untuk tindakan seterusnya dan orang awam dinasihatkan supaya berhati-hati dengan keadaan sekeliling serta menghubungi APM Baling atau talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan. – UTUSAN