`Memo Dalaman' AGC bocor: Pendakwaan `No Comment'

`Memo Dalaman’ AGC bocor: Pendakwaan `No Comment’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes pecah amanah harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion tidak memberikan sebarang komen mengenai dokumen kebocoran dokumen iaitu memo dalaman Jabatan Peguam Negara (AGC).

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi hanya menyatakan `No Comment’ ketika ditanya oleh Hakim Hakim Datuk Muhammad Jamil Husin mengenai isu yang ditimbulkan oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Bagaimanapun, pihaknya akan menyerahkan segala kenyataan saksi termasuk mereka yang didakwa terlibat dalam penyediaan memo tersebut 14 hari sebelum perbicaraan bermula.

Terdahulu, Muhammad Shafee memohon penjelasan daripada pihak pendakwaan berhubung memo dalaman berhubung kes pecah amanah harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

“Kami ingin membuat permohonan di dalam mahkamah ini bagi membuktikan pembelaan kami. Mohon pihak pendakwaan menyatakan pendirian berhubung memorandum dalaman yang bocor dalam talian dan berada di domain awam sama ada memorandum ini benar, wujud dan tulen.

“Ia (memorandum) tersebut adalah relevan kepada pembelaan kami bagi menunjukkan penyalahgunaan kuasa oleh Peguam Negara terdahulu iaitu Tan Sri Tommy Thomas dan pendakwaan ini adalah pendakwaan politik lebih-lebih lagi Tommy sendiri pernah menyatakan lantikannya merupakan lantikan politik,” kata Muhammad Shafee.

Pada Ogos lalu, tular dokumen setebal 12 muka surat bertarikh 10 Oktober 2019 yang didakwa memo dalaman daripada pasukan pendakwa Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) yang ditujukan kepada Tommy.

Dokumen itu mengesyorkan enam daripada pertuduhan rasuah terhadap Najib dan Mohd. Irwan digugurkan. 

Menurut Muhammad Shafee, mereka yang terlibat berkait memo tersebut ialah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin (pendakwa yang mengetuai pasukan pendakwaan pada peringkat awal), tujuh timbalan pendakwa raya dan lima pegawai penyiasat.

“Pada 10 September 2019, seorang timbalan pendakwa raya senior, (Datuk) Jamil Aripin bersama tujuh timbalan pendakwa raya dan lima pegawai penyiasat bersetuju dan menyatakan dalam bentuk tulisan bahawa kes ini merupakan kes yang tiada harapan (hopeless case).

“Berdasarkan keterangan dan bukti, kes tidak memenuhi penanda aras dalam membuktikan pecah amanah dilakukan oleh Najib dan Mohd. Irwan. 

“Perkara ini juga dibawa kepada Tommy Thomas dan sesalinan diserahkan kepada Manoj Kurup (Ketua Bahagian Pendakwaan AGC),jadi ia (memo) perlu diberikan perhatian serius,” kata Muhammad Shafee.

Peguam itu berkata demikian pada sebutan kes pecah amanah harta kerajaan RM6.6 bilion yang dihadapi oleh Najib dan Mohd. Irwan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan bermula Jun 2024. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya