'Memang berat tanggung jawab ini, saya perlu kuat dan tabah'

‘Memang berat tanggung jawab ini, saya perlu kuat dan tabah’

MUHAMMAD Amirul Ikhwan Ridzuan bersama dua daripada tiga adiknya, Nurin Alya Iwanie (kanan) dan Muhammad Ridz Danial ketika menunggu jenazah ibu bapa mereka di Unit Forensik HSAH, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI:“Memang berat tanggungjawab ditinggalkan ibu tetapi sebagai anak sulung saya perlu kuat dan tabah serta yakin mampu melaksanakan amanah ini,” kata Muhammad Amirul Ikhwan Ridzuan, 17 ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini semalam.

Dia ditanya berhubung pesanan ibu supaya menjaga adik-adik dengan baik setelah terlibat dalam nahas jalan raya, semalam.

Dia merupakan anak sulung kepada Ridzuan Salleh @ Ramli, 42, dan Rosmawati Ismail, 39, yang maut selepas motosikal Benelli TNT ditunggang mereka melanggar bahagian belakang jip tentera di Kilometer 87, Le­buhraya Utara Selatan, arah selatan di Gurun.

“Sebelum ini ibu selalu pesan kepada saya supaya ambil alih menjaga adik-adik jika mereka tiada dan kini ia menjadi nyata seolah-olah ibu tahu dia akan pergi meninggalkan kami empat beradik, “ujarnya lagi.

Kata pelajar Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Batu 5, Jalan Jeniang itu, buat masa ini dia akan terus tinggal bersama tiga adiknya, Muhammad Alif Irfan, 15, Nurin Alya Iwanie, 12, dan Muhammad Ridz Danial, 5, kerana tidak sanggup berpisah walau apa yang terjadi.

“Saya tetap akan jaga mereka dengan perhatian bapa saudara dan jiran yang sebelum ini mempunyai hubungan baik dengan ibu bapa kami. Saya yakin mampu tunai tanggungjawab itu kera­na adik-adik saya pun tak mahu kami berpisah,” katanya.

Tambah Muhammad Amirul Ikhwan, sebelum nahas itu, bapanya sibuk mengemas rumah dan melepaskan kesemua haiwan peliharaan seperti arnab, burung puyuh dan pelbagai jenis burung lain serta ikan yang dipelihara dalam kolam rumah.

“Saya hairan mengapa dia berbuat demikian kerana selama ini bapa amat menyayangi kesemua haiwan peliharaan itu tetapi rupa-rupanya itu petanda mereka akan pergi selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Amirul Ikhwan berharap, orang ramai yang mempunyai rakaman berkaitan kemalangan meragut nyawa ibu bapanya tampil kerana dia ingin melihat sendiri kejadian sebenar yang berlaku.

Dalam kejadian itu, pasa­ngan berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari rumah di Taman Permai Utama, Jeniang ke HSAH untuk menziarahi ibu Rosmawati.

Kedua-dua mangsa dipercayai terpelanting ke dalam jip yang dinaiki dua anggota tentera menghala ke arah Butterworth, Pulau Pinang dan motosikal berkuasa tinggi yang dinaiki mereka turut terbakar. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya