PUTRAJAYA: “Melayu bukan musuh kepada DAP dan DAP juga bukan musuh kepada Melayu,” itu tegas Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke ketika mengakhiri ucapan dasar sempena Persidangan Tahunan DAP 2023, di sini hari ini.
Loke berkata, DAP juga bukannya musuh kepada mana-mana kaum dan agama di negara ini.
Menurutnya, DAP adalah sebuah parti yang mendukung aspirasi seluruh rakyat Malaysia tidak kira kaum dan agama.
“Jangan kita mudah terperangkap dengan paradigma lama. Apabila kita sebut ‘Malaysia untuk Malaysia’, saya yakin demokrasi dan politik serta kedudukan orang Melayu dalam politik terjamin.
“Tiada sebab orang Melayu perlu bimbang dan takut dengan DAP. Kita bukan parti yang pagi cakap lain, malam cakap lain,” katanya.
Dalam pada itu, Loke juga mengesahkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bukan Presiden UMNO pertama yang hadir pada persidangan parti itu sebaliknya ia juga pernah dihadiri oleh seorang bekas Presiden UMNO.
“Ada seorang bekas Presiden UMNO pernah hadir (Persidangan Tahunan DAP) tetapi ketika itu beliau bukan lagi ahli UMNO.
“Ketika sidang media selepas hadir persidangan itu, beliau sangat terkejut kerana ucapan dasar parti dibuat dalam bahasa Melayu, malah lebih terperanjat, lagu rasmi DAP pun dalam bahasa Melayu,” katanya.
Justeru, Loke berkata, beliau yakin Ahmad Zahid juga tidak terkejut kerana DAP sebenarnya tidak membelakangkan bahasa kebangsaan dalam persidangan tahunan partinya.
“Saya yakin Datuk Seri tidak terperanjat hari ini sebab dalam DAP kita mendukung Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Secara seriusnya, saya ingin nyatakan kepada rakan-rakan dalam UMNO bahawa inilah pendekatan dan wajah sebenar DAP.
“Tadi saya lihat Datuk Seri pandang skrin besar ketika nyanyi lagu DAP, saya pasti beliau sendiri nak lihat apakah lirik lagu parti kita. Untuk makluman Datuk Seri, lirik lagu itu ditulis oleh saya. Itu kehebatan lirik dan lagu kerana ia boleh membawa roh sebuah parti,” katanya.
Ucapan dasar oleh Loke itu kemudian diakhiri dengan semua perwakilan menyanyikan lagu ‘Setia’ hasil ciptaan bekas Ketua Penerangan UMNO, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat atau Tok Mat. – UTUSAN