MELAKA: Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri akan memasang lebih banyak lampu isyarat berbentuk ‘light saber’ bagi tujuan keceriaan di beberapa lokasi tumpuan pelancong di Melaka.
Pengarah JKR Melaka, Datuk Ir. Ismail Abd. Rahman berkata, pemasangan dijangka dibuat di sekitar persimpangan pintu masuk utama ke negeri ini.
Katanya, setakat ini pengenalan lampu isyarat seakan-akan senjata dalam filem ‘Star Wars’ itu mendapat maklum balas positif orang awam dan pengunjung.
“Kita akan kaji kerana ini akan membantu menambah keceriaan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 dan kita sasarkan ia (lampu) akan dipasang di sekitar persimpangan pintu masuk utama di sekitar negeri ini.
“Setakat ini, hasil pemantauan JKR melalui media sosial menerima respon positif dalam kalangan pengguna,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pelaksanaan projek rintis no right turn di Taman Paya Rumput Utama di sini, hari ini.
Tambah Ismail, light saber yang pertama kali dipasang di Jalan Perindustrian Ayer Keroh adalah inovasi lampu isyarat pertama diperkenalkan di Malaysia.
Menurutnya, lampu yang menggunakan diod pemancar cahaya (LED) pada tiang lampu isyarat sedia ada itu merupakan hasil inovasi Unit Cawangan Elektrik JKR.
“Lampu isyarat yang diberi nama light saber ini pertama kali diperkenalkan di Ayer Keroh yang mana selain keceriaan ia mampu meningkatkan aspek keselamatan pengguna jalan raya. Sekurang-kurangnya membantu pengguna peka dengan cahaya lampu sekali gus mengelakkan daripada tersasar dan melanggar lampu isyarat.
“Ini adalah pertama kali kita laksanakan dan masih dalam tempoh percubaan. JKR sedang menilai pelaksanaan ini sama ada memberi kesan dan respon positif kepada pengguna atau sebaliknya,” ujarnya. -UTUSAN