MB Selangor nafi akan ke Kabinet - Utusan Malaysia

MB Selangor nafi akan ke Kabinet

Kabinet
AMIRUDIN Shari ditemui pemberita selepas merasmikan Ekspo Hartanah dan Perumahan Selangor 2023, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan beliau akan menganggotai Jemaah Menteri susulan dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan rombakan Kabinet.

Naib Presiden PKR itu berkata, beliau tidak mengetahui sumber khabar angin tersebut termasuklah sama ada akan dilantik untuk berada dalam saf kepimpinan Kerajaan Persekutuan atau sebaliknya.

“Desas-desus mengatakan saya hendak ke Kabinet ini sejak tahun 2022 dan saya sendiri tak dengar (sebarang perkembangan terbaharu). Apapun, semua keputusan tersebut terletak kepada prerogatif Perdana Menteri,” katanya selepas merasmikan Ekspo Hartanah dan Perumahan Selangor 2023, hari ini.

Jelasnya, beliau bersama barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor kini baru sahaja dilantik dan mahu menjalankan segala agenda baharu untuk rakyat negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) berakhir Ogos lalu.

Malah, Amirudin memaklumkan, Anwar pasti akan berbincang dengan kepimpinan parti termasuk Kerajaan Perpaduan sebelum melantik membuat rombakan dan melantik anggota Jemaah Menteri yang baharu.

Semalam Anwar dilaporkan memberitahu tidak menolak kemungkinan akan melakukan rombakan Kabinet, namun beliau menegaskan ia bukan perkara yang mendesak ketika ini.

Malah, menurut beliau tiada perbincangan mengenai hasrat untuk merombak Kabinet pada mesyuarat pra-Kabinet bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara petang semalam.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN