PETALING JAYA: “Bukan tak berani atau risau, tetapi saya mahu karya pertama arahan saya mempunyai nilai yang selari dengan hampir dua dekad pengalaman dalam industri perfileman ini.
Demikian perkongsian pengarah filem Mat Kola, Hafiz Nafiah ketika ditanya mengapa dia mengambil masa 20 tahun sebelum berani duduk di kerusi sutradara.
Jelas Hafiz, filem terbitan AA Success Pictures Sdn. Bhd. itu cukup bermakna dalam portfolio seninya dan kepercayaan itu digalas dengan penuh rasa tanggungjawab serta dedikasi.
“Bila ditawarkan untuk menjadi pengarah Mat Kola, ada juag timbul kerisauan, Tetapi saya tak fikir panjang. Ini peluang dan kepercayaan daripada penerbit, Azman Ahmad untuk mengarahkan Mat Kola.
“Bukan tidak percaya diri, tetapi biarlah saya sudah ada pengalaman, ilmu pengarahan dan kerja belakang tabir sebelum duduk di kerusi itu. Berbekalkan pengalaman luas, baru saya sedia galas tanggungjawab itu.
“Sebenarnya saya sudah lama bersedia untuk menjadi pengarah drama, tetapi tak sangka yang datang adalah tawaran filem.
Saya percaya tidak semua orang akan dapat peluang keemasan itu,” katanya.
Filem Mat Kola berkisar persahabatan tiga anak jati Kuala Kedah iaitu Mat Ki lakonan Usop Mentor, Mat Yon (Azman) dan Mat Not (Taiyuddin Bakar).
Antara lain, plot cerita berkisar gelagat dan liku dilalui tiga sahabat itu dalam mengusahakan gerai burger yang menjadi sumber ekonomi golongan belia.
Selain Usop, Azman dan Taiyuddin, filem Mat Kola menampilkan Rozita Che Wan yang melakonkan watak (Che Som); Ropie (Pak Sheikh); Putri Hanan (Maliah); Fendi London (Bang Lah) dan Mohd Hafeezul Yop (Joe Klipop).
Turut membantu Abang Gee (Abang Gee); Zainon Ismail (Bang Non); Suhaili Che Rus (Zali); Cikgu Akop (Pak Hashim) dan Pak Abang (Badrul).
Sementara itu, Hafiz yang juga bertindak sebagai penerbit penyelaras dan lakon layar enganggap Mat Kola sebagai permulaan untuk membuktikan kerjaya sebagai sutradara.
“Penggambaran filem ini dilakukan pada Oktober 2021 selama hampir tiga minggu dan menelan belanja RM1 juta.
“Filem ini mengambil masa selama dua tahun untuk ditayangkan kerana banyak kekangan seperti proses suntingan, kerja teknikal dan sebagainya,” katanya.
Mengakui bukan mudah untuk mengarahkan filem komedi, Hafiz juga membaca dan membuat rombakan beberapa kali sebelum beri penerangan kepada pelakon.
“Jalan cerita filem ini santai, berkisar kisah peniaga burger. Saya harap filem ini boleh menaikkan semangat peniaga burger untuk terus berniaga. Inilah yang menjadi plot utama filem ini.
“Ketika penggambaran pun, kami terpaksa tukar ‘screen play’ kerana hujan terlalu lebat. Tetapi Alhamdulillah, Tuhan permudahkan kerja penggambaran filem ini.
“Saya juga buat sehabis baik untuk kawal bajet sedia ada. Saya tidak mahu letak sasaran kutipan. Kita sudah usahakan yang terbaik. Ini filem pertama saya.
“Selebihnya, saya serahkan kepada Tuhan,” katanya
Mat Kola bakal ditayangkan di 65 pawagam di seluruh negara bermula esok.