TUMPAT: Sekumpulan masyarakat Siam di sini menzahirkan semangat patriotik dengan berkonvoi motosikal sambil membawa Jalur Gemilang mengelilingi beberapa buah perkampungan Siam sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-66.
Walaupun masyarakat Siam hanya kaum minoriti di sini, mereka tetap bersemangat meraikan kemerdekaan negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Siam Kelantan, Pim Chau Dam berkata, bukan sekadar konvoi 20 buah motosikal sejauh 20 kilometer tetapi ia juga membawa mesej patriotik agar masyarakat Siam tahu erti kemerdekaan negara.
“Kami tidak mahu suasana hambar, sunyi dalam kalangan masyarakat Siam di sini setiap kali menyambut kemerdekaan negara.
“Nilai ini mahu diserapkan kepada anak-anak muda agar mereka tahu susah payah perjuangan nenek moyang membebaskan negara daripada penjajah,” katanya ketika ditemui sempena program perarakan Jalur Gemilang Konvoi Merdeka di Wat Phikulthong Vararam di Kampung Terbak di sini semalam.
Menurut Pim, lebih meriah apabila pekarangan Wat Phikulthong Vararam bergema dengan laungan merdeka sebaik sahaja konvoi motosikal tersebut tiba.
“Kita selitkan kebudayaan masyarakat Siam seperti persembahan tarian masyarakat Siam serta persembahan gedombak panjang melambangkan negara Malaysia berbilang bangsa dan hidup harmoni,” katanya. – UTUSAN