Masyarakat dunia disaran guna konsep Malaysia Madani

Konsep Malaysia Madani boleh diguna pakai masyarakat antarabangsa bagi mendepani ‘defisit demokrasi’

ANWAR Ibrahim ketika berucap di UNGA Ke-78 di New York, Amerika Syarikat. - FACEBOOK/ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seluruh masyarakat dunia disaran menggunakan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan Kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdepan cabaran dunia masa kini.

Perdana Menteri berkata, beliau mengusulkan konsep Malaysia Madani semasa di pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.

Kata beliau, usahanya  bertujuan membolehkan konsep tersebut dapat diguna pakai oleh masyarakat antarabangsa dalam mendepani dilema ‘defisit demokrasi’ yang sedang melanda dunia.

“Mahu tidak mahu, semua negara tidak kira sama ada kuasa-kuasa besar atau kumpulan negara membangun harus menelan hakikat tentang peranan mencorak dunia yang lebih baik untuk hari esok.

“Roh’ muafakat dan kerjasama multilateralisme harus terus diperkasa ketika arena ekonomi politik dunia sedang berdepan polarisasi yang kian menebal,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Selain itu, ketika menyampaikan kenyataan negara dii perhimpunan yang berlangsung di New York itu, Anwar berkata, beliau menzahirkan kebimbangan Malaysia mengenai kemunculan bentuk perkauman atau rasisme baharu yang dicirikan oleh xenofobia, pemprofilan negatif dan stereotaip umat Islam.

“Perbuatan membakar Al-Quran, yang berlaku di beberapa negara juga, adalah tindakan Islamofobia yang jelas bertujuan untuk mencetuskan kebencian,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, isu berhubung  Palestin, Afghanistan, Myanmar dan perang Rusia-Ukraine juga dibangkitkan oleh ketika perhimpunan pemimpin-pemimpin dunia tersebut.

“Dalam isu Palestin, saya menggesa komuniti antarabangsa menghentikan hipokrasi sebaliknya terus melaungkan suara yang kuat sebagai manifestasi menentang kekejaman berterusan terhadap rakyat Palestin.

“Menyentuh isu Rusia-Ukraine, saya menyeru usaha bersepadu pelbagai hala diketuai PBB untuk selesaikan konflik ini.

“Malaysia juga komited untuk meneruskan hubungan rakyat yang sedia ada dengan Afghanistan termasuk menerusi bantuan kemanusiaan. Pada masa yang sama, saya menyeru agar hak wanita dan kanak-kanak serta akses terhadap pendidikan di Afghanistan terus dipelihara.

“Berkait isu Myanmar, Malaysia menyeru Myanmar segera laksana Konsensus Lima Perkara ASEAN bagi mencapai keamanan dan kestabilan di negara tersebut,” katanya.

Tambahnya, bagi menangani krisis iklim, negara maju perlu memenuhi komitmen untuk menggerakkan US$100 bilion setahun bagi bantu negara membangun tangani perubahan iklim.

“Saya juga menyentuh soal ekonomi global yang diunjur terus dibelenggu ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, kenaikan harga komoditi dan keadaan kewangan yang mencabar.

“Pembaharuan drastik, sistemik serta penjajaran semula seluruh institusi global penting dalam tangani jurang besar antara pertumbuhan ekonomi dan pendapatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya