PETALING JAYA: Tiga masjid utama serta masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan akan mengadakan solat hajat untuk mangsa Maghribi dan Libya, esok.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menganjurkan solat hajat di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya esok, selepas solat Maghrib.
Sementara seluruh masjid dan surau di Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut diminta melaksanakan solat hajat pada tarikh dan waktu yang sama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ia sebagai keprihatinan Malaysia terhadap mangsa tragedi gempa bumi di Maghribi, banjir besar yang melanda Libya termasuk konflik di Sudan.
“Saya dan seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merakamkan ucapan takziah buat semua mangsa dan seluruh ahli keluarga serta mendoakan kemudahan dan kelancaran bagi urusan mencari dan menyelamat mangsa khususnya di Maghribi dan Libya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mengajak rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan buat seluruh rakyat Maghribi dan Libya serta menghulurkan apa juga bentuk bantuan kepada mangsa-mangsa yang menghadapi ujian susulan bencana tersebut.
“Selain itu, kita juga berdoa supaya segala usaha perdamaian akan berjaya menyelesaikan konflik yang meletus di Sudan,” katanya. – UTUSAN