KANGAR: Masjid Al-Arifin, Padang Katong diumumkan sebagai pemenang anugerah masjid lestari terbaik 2023 pada Konvesyen Masjid-Masjid Negeri Perlis di Dewan Warisan di sini, semalam.
Manakala, Pengerusi Masjid As-Syakirin, Oran, Ya Ali Dahaman pula diistyharkan sebagai pemenang pengerusi masjid terbaik.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan majlis tersebut dan seterusnya menyampaikan anugerah-anugerah kepada para pemenang.
Turut hadir, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.
Konvensyen tersebut dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jam’iyah Pegawai-Pegawai Masjid Negeri Perlis.
Baginda bertitah, masjid-masjid di negeri ini hendaklah diperkasakan agar dapat mensyiarkan kualiti pentadbiran yang profesional dan efisien.
Tuanku Syed Faizuddin juga menasihatkan supaya pelantikan ahli jawatankuasa masjid mestilah berasaskan kelayakan al-Qawiy dan al-Amin yang kompeten serta komited dalam menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.
“Sebarang aktiviti komuniti setempat, jawatankuasa kariah dan pegawai-pegawai masjid hendaklah selalu turun padang melihat keperluan-keperluan masyarakat dan menyelesaikan apa-apa masalah yang berkaitan dan perlu diwujudkan jaringan strategik antara Jawatankuasa dengan pihak-pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO), rukun tetangga dan seumpamanya”, titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin turut bertitah, jawatankuasa masjid juga hendaklah sentiasa memastikan setiap penceramah, pengkuliah dan tenaga-tenaga pengajar tersebut adalah pemegang tauliah di negeri Perlis.
“Hal ini bagi memastikan kualiti dan mutu pengisian di masjid dan surau di negeri ini kekal berada pada standardnya yang tersendiri serta jauh daripada anasir-anasir luar yang meragukan dan cuba untuk menyemai bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat di negeri ini.
“Mematuhi ulil amri adalah suatu tuntutan dalam agama Islam, apatah lagi ia selari dengan suruhan agama dan kemaslahatan ummah dan perkara ini adalah demi kebaikan bersama, demi melestarikan keharmonian dalam kalangan komuniti dan anak kariah”, titah baginda yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs.-UTUSAN