PELAKON, Datuk Rosyam Nor tidak menyangka drama bersiri terbaru lakonannya, Jack Yusof, menerima sambutan luar di luar negara, kata Rosyam, drama tersebut yang diterbitkan Astro, kini menjadi antara drama tempatan yang berjaya di di luar.
“Alhamdulillah, Jack Yusoff menerima sambutan yang memberangsangkan walaupun sudah lebih 15 tahun saya tidak berlakon drama bersiri. Saya sendiri tidak menyangka peminat masih menerima lakonan saya.
“Drama ini bukan sahaja menerima sambutan yang baik dalam Malaysia, malah juga di luar negara. Ini terbukti selepas data Parrot Analytics menunjukkan Jack Yusoff menjadi antara drama Malaysia yang menerima jumlah tontonan yang tinggi di Australia dan New Zealand.
“Perkara ini mengejutkan kerana saya sebelum ini khuatir sekiranya drama komedi ini tidak mendapat sambutan gara-gara hero yang diketengahkan adalah saya, seorang pelakon berusia. Tambahan pula, saya juga sudah lama tidak berlakon kerana memberi tumpuan kepada perniagaan,” katanya.
Jack Yusoff yang diarahkan Wan Hasliza Wan Zainuddin mengisahkan tentang konflik yang dihadapi seorang bintang filem terkenal, Jack ketika diminta menjadi wali kepada anak perempuan yang ditinggalkannya sejak bertahun lamanya.
Drama tersebut turut menampilkan Raja Ema, Rashidi Ishak, Sarimah Ibrahim, Sharifah Husna dan ramai lagi.
Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Nor Shamsuddin bersyukur dan berterima kasih kepada penonton yang tidak menolak, malah terbuka menerima kehadiran seorang hero yang lebih berusia.
“Industri drama dan perfileman tempatan menyaksikan kehadiran ramai hero-hero muda berbakat. Untuk penonton sekarang menerima kehadiran pelakon lama sebagai hero adalah sesuatu yang di luar jangkaan.
“Jujur cakap memang saya tak senang duduk memikirkan sambutan drama ini kerana saya sendiri sudah lama tak berlakon drama televisyen.
“Tapi hakikatnya ia menjadi. Ini semua berkat sokongan peminat dan media yang banyak menulis reaksi positif tentang drama ini. Terima kasih kerana masih terima saya sebagai hero,” katanya lagi.
KEMBALI AKTIF
Rosyam sendiri mengakui dia sebelum ini berehat sementara dari kerja lakonan dan mahu memberi tumpuan terhadap rangkaian perniagaan yang diusahakannya.
Kata pelakon yang aktif sejak tahun 1986 ini, kini dia memutuskan untuk kembali aktif selepas lama merehatkan diri.
“Alhamdulillah, walaupun usia saya sudah memasuki lebih separuh abad, rezeki berlakon tak pernah putus. Saya masih lagi dalam proses menghabiskan penggambaran filem Original Gangster arahan Syamsul Yusoff.
“Dalam masa yang sama saya juga sedang mempertimbangkan tiga filem yang ditawarkan kepada saya baru-baru ini.
“Saya berterima kasih kepada produser yang masih nampak kehadiran saya dalam industri ini. Selepas lama berehat, saya mahu aktif semula berlakon selain memberi tumpuan kepada produk Durian Belanda yang saya usahakan sekarang,” jelasnya.