Manisnya muafakat di sebalik binaan masjid - Utusan Malaysia

Manisnya muafakat di sebalik binaan masjid

KUBAH hijau dan binaan berwarna putih mengambil sempena warna asal Masjid Nabawi di Madinah.-UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI yang melalui Jalan Datuk Sulaiman, Kuala Lumpur, mata pasti tertangkap dengan Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Binaan sederhana dengan warna putih dan hijau itu, persis Masjid Nabawi di Madinah, dan sememangnya itulah yang menjadi inspirasi dalam binaannya, lebih tiga dekad lalu.

Sedikit sebanyak sudah pasti bila melihatnya, ia dapat mengubat kerinduan pada Masjid Nabi, sungguh menarik kisahnya.

Namun yang lebih menarik bagi saya ialah kemanisan kisah di sebalik pembinaannya yang dibina hasil daripada semangat muafakat penduduk sekitar TTDI yang mahukan sebuah premis khusus bagi menjalankan aktiviti keagamaan seperti beribadat dan bersolat.

“Masjid ini didirikan atas kerjasama ahli kariah dengan pihak pemaju perumahan TTDI.

“Rumah Allah yang siap dibina pada awal 1990 itu, bertujuan memenuhi keperluan mendesak daripada penduduk yang semakin bertambah ketika itu,” kata Imam masjid, Ramli Othman, 87 memulakan bicara sewaktu bertemunya baru-baru ini.

Mengimbau kenangan, katanya fasa satu perumahan TTDI, siap dibina dan diduduki penduduk sekitar tahun 1979.

Sebaik berpindah masuk, penduduk mencari lokasi untuk dijadikan surau bagi mendirikan solat dan menjalankan akitiviti agama.

“Ketika itu, surau hanyalah disewa ala kadar di sebuah rumah kedai. Akhirnya, penduduk diberi ruang kecil di dalam setor pejabat pembinaan oleh pihak pemaju untuk dijadikan surau.

“Pejabat pembinaan tersebut terletak di penjuru Jalan Leong Yew Koh dan Jalan Burhanuddin Helmi Dua bersebelahan Pusat Telekom. Tapak tersebut kini dijadikan sebagai kuarters perumahan bagi guru sekolah,” jelasnya yang menetap di kawasan itu sejak 1979.

SURAU JUMAAT

Rentetan itu, penduduk Islam TTDI menubuhkan Badan Kebajikan Islam (Bakti) pada 1980 yang memainkan peranan mencari tempat bagi mendirikan sebuah surau baharu yang tetap dan lebih selesa.

Bakti meminta bantuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi mendirikan sebuah surau di TTDI dengan kadar segera.

“Jawi menyambut baik permintaan Bakti dan bersetuju mendirikan sebuah surau di atas sebidang tanah seluas suku ekar dengan syarat kos pembinaannya yang dianggarkan RM120,000 ditanggung bersama ahli kariah dan pihak Jawi,” katanya.

Ia siap dibina pada 1983 dengan perbelanjaan RM228,000 dengan pihak Jawi menanggung kos RM160,000, manakala sumbangan ahli kariah adalah RM68,000.

Ketika itu, kata Ramli, TTDI belum mempunyai tempat untuk solat Jumaat kerana lokasi terdekat ialah Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah di Kampung Sungai Penchala yang tidak mempunyai jalan pintas melainkan meredah bukit-bukau.

“Jawi kemudiannya membenarkan penduduk mendirikan solat Jumaat setiap minggu di surau tersebut.

“Walaupun fasiliti itu masih ditetapkan sebagai ‘surau’ di bawah tanggungjawab ahli kariah untuk menguruskannya, penduduk TTDI mula menggelarkannya sebagai ‘masjid’,” katanya.

AGONG RASMI

Berdasarkan catatan penulis buku Sentuhan At-Taqwa, Allahyarham Datuk Ismail Hashim yang pernah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pembinaan Masjid At-Taqwa 1979, pihak pemaju akhirnya akur untuk mempercepatkan usaha pembangunan masjid dan memberi tugas tersebut kepada Arkitek FAA.

Selepas sempurna urusan penukaran tapak tanah, pihak pemaju memulakan pembinaan bangunan asas masjid 100 peratus atas tanggungan mereka sendiri termasuk pembinaan sebuah jambatan yang dijadikan laluan utama ke Masjid dari Jalan Datuk Sulaiman.

Pemaju membelanjakan hampir RM3.4 juta bagi proses pembinaan masjid itu, sebelum hartanahnya diwakafkan kepada pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 19 Ogos 1990.

Masjid At-Taqwa dirasmikan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Ke-9, Almarhum Sultan Azlan Shah pada 28 Februari 1992.

Setiap kali berlaku pertukaran pertabalan YDPA, baginda masing-masing berkenan mencemar duli untuk solat Jumaat bersama ahli kariah di masjid yang mampu menampung 1,500 jemaah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya