KEPALA BATAS: Seramai 17 mangsa kejadian ribut di Bertam dekat sini, Isnin lalu menerima bantuan kewangan untuk membaik pulih kerosakan kediaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, bantuan itu akan disalurkan menerusi Tabung Bencana TYT dan pusat khidmat beliau.
“Kerosakan rumah yang ditanggung penerima berbeza-beza, ada rumah yang bumbungnya tercabut terus dan ada juga rosak sederhana, namun kebanyakannya sudah dibaik pulih.
“Kita harap bantuan ini dapat meringankan beban mangsa yang terkesan akibat kejadian yang melanda Isnin lalu.
“Keadaan cuaca memang tidak menentu sejak kebelakangan ini dan saya minta penduduk mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan bantuan di Dewan Permatang Bertam, di sini hari ini.
Sementara itu, salah seorang penerima bantuan, Mohd. Zaini Musa, 43, berkata, kejadian ribut yang berlaku menyebabkan bumbung rumahnya tercabut selain terpaksa menanggung kerugian susulan peralatan elektrik turut rosak.
“Pertama kali rumah pusaka yang didiami ini terjejas akibat ribut dan saya bersyukur kerana bantuan ini dapat membantu menampung kos baik pulih bumbung,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Mariam Bee Mohd. Noor, 58, pula berkat, kali pertama bumbung rumahnya tercabut disebabkan kejadian ribut adalah pada 2020.
“Kali ini, pokok pula tumbang dan menimpa bumbung rumah, namun mujurlah saya tidak mengalami kecederaan.
“Kerosakan juga sudah dibaiki dan diharapkan kejadian seumpama ini tidak akan berulang,” katanya. – UTUSAN