MERSING: Walaupun dijual pada harga serendah RM1, seorang wanita di Felda Tenggaroh dekat sini masih mampu meraih pendapatan kasar sehingga RM15,000 sebulan hasil jualan produk roti yang dihasilkannya.
Shahreen Jalaluddin, 47, berkata, roti jualannya mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan dan antara yang dihasilkan ialah roti mini, roti kok, roti loyang dan roti benggali yang dipelajari daripada suaminya, Ahmad Syah Ahmad Hanapi, 33.
“Sudah tujuh tahun saya memulakan bisnes roti ini, bahkan saya bertemu jodoh dengan suami ketika kami mengikuti kursus. Cara membuat roti juga saya banyak belajar daripada suami dan kini saya yang fokus sepenuhnya dalam bisnes roti ini manakala suami mengendalikan projek tanaman.
“Roti yang paling banyak permintaan adalah roti kok dan benggali. Bagi pasaran pula saya lebih fokus kepada ejen-ejen di seluruh negara, selain turut menjual di kedai di simpang Felda Tenggaroh di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Shahreen mengakui bidang pembuatan roti kini menjadi punca pendapatan utamanya, bukan yang dipelajari ketika menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu Diploma Kesetiausahaan.
“Sebelum ini saya menetap di Kuala Lumpur dan pernah bekerja sebagai pegawai sumber manusia, akaun, pemasaran. Ketika itu memang ada buat kek lapis suka-suka sahaja sebab kawan kata sedap. Tetapi selepas balik ke kampung kerana emak tidak sihat saya dapat tender kuih tradisional dalam jumlah yang banyak dan emak yang ajar, kami buat bersama-sama sampai 500 keping sehari.
“Semangat saya hilang selepas emak meninggal dunia, namun masih ingat pesanan emak bahawa dia yakin saya boleh buat, dan dari situ saya bangkit dan teruskan mencari rezeki dalam bidang ini,” katanya.
Dibantu seorang pekerja, dia kini mampu membuat 1,000 bungkus roti kok dan 5,000 bungkus roti benggali setiap hari.
Produk rotinya kini dikenali sebagai ‘Yinyin’ yang diambil sempena namanya turut dipasarkan ke Singapura.
“Alhamdulillah pelbagai bantuan saya terima daripada agensi-agensi seperti Jabatan Pertanian berupa peralatan, selain kursus-kursus yang diikuti yang membantu saya dalam mengembangkan lagi perniagaan roti ini,” katanya. – UTUSAN