PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia bersetuju mengeratkan kerjasama dalam pelbagai dengan tiga negara iaitu Sri Lanka, Turkiye dan Iran.
Keputusan itu dicapai hasil pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ketiga-tiga Presiden negara berkenaan iaitu Ranil Wickremesinghe, Recep Tayyip Erdoğan dan Seyed Ebrahim Raisi, di New York hari ini.
Ketika bertemu Ranil, Anwar berkata kedua-dua pihak bersetuju mengeratkan kerjasama dalam pertukaran lawatan di peringkat tertinggi, sektor perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan, budaya serta pembangunan sumber manusia.
“Pertemuan ini juga memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk meneroka bidang kerjasama baharu dalam usaha mengukuhkan kerjasama sedia ada.
“Semoga kerjasama yang terjalin ini dapat membawa manfaat buat rakyat Malaysia dan Sri Lanka,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Awal pagi tadi, Anwar dalam hantaran berasingan di Facebooknya memberitahu bertemu Erdogan yang juga sahabat baiknya, di Turkish House, New York.
Katanya, kedua-dua negara sepakat menggandakan usaha bagi membendung sentimen Islamofobia yang semakin ‘menggila’.
Katanya, kedua-dua pihak bersetuju bahawa usaha memberi penjelasan perlu dipergiat.
“Jika isu mengenai Islam ini tiada jalan kesudahan, maka natijahnya amat teruk untuk masa hadapan khususnya generasi akan datang.
“Turut dibincang semasa pertemuan ini adalah keperluan untuk meningkatkan kerjasama dua hala terkait bidang pelaburan dan perdagangan antaranya melibatkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
“Ini bertujuan bagi membesarkan terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISG), kerjasama ekosistem pertahanan antara kedua-dua negara,” katanya.
Katanya, beliau sekali lagi menjemput Erdogan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia sebelum hujung tahun ini.
“Besar harapan saya agar hubungan dua hala dan jalinan kerjasama Malaysia dan Turkiye yang telah sekian lama terjalin akan kekal utuh dalam semangat persahabatan yang mampu membawa manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.
Selepas bertemu Erdogan, Anwar kemudian bertemu Seyed Ebrahim, dengan menyatakan hasrat Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan negara itu.
Katanya, kerjasama itu antaranya dalam bidang ekonomi, pendidikan, keterjaminan makanan, sains dan teknologi serta menerokai potensi kerjasama baharu.
“Malaysia juga mengulangi komitmen mengadakan mesyuarat suruhanjaya bersama (JCM) dan mesyuarat suruhanjaya ekonomi (JEC) antara dua negara bagi menghalusi semua potensi skop kerjasama,” katanya.
Anwar semalam tiba di New York ditemani isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan delegasi dari Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-78.
Hadir sama ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz Tengku Abdul Aziz; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.
Beliau dijadual menyampaikan kenyataan negara semasa sesi Debat Umum pada esok pada jam 10.00 pagi waktu tempatan (10.00 malam waktu Malaysia).
Anwar turut dijadual bertemu komuniti perniagaan di Amerika Syarikat serta rakyat Malaysia yang menetap di negara ini sekali gus berpeluang berkongsi dasar dan aspirasi negara bersama mereka. -UTUSAN