PUTRAJAYA: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menyerbu Masjid Al Aqsa oleh pelampau Israel pada 17 September lalu.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan menegaskan, serangan terhadap jemaah adalah tindakan provokasi yang disengajakan dan pencabulan secara terang-terangan terhadap kesucian tapak suci umat Islam itu bertujuan mencabar status sejarah dan perundangan Baitulmuqaddis dan Al-Haram Al-Sharif.
Dalam hal ini, Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) melaksanakan tanggungjawab menggunakan mandatnya untuk menyekat rejim Israel daripada berterusan melakukan pencerobohan.
“Ia jelas sekali mengabaikan aspek kemanusiaan dan mencabul prinsip undang-undang antarabangsa secara jelas.
“Semua provokasi dan keganasan mesti dihentikan serta-merta demi kepentingan keamanan dan keselamatan,” katanya hari ini.
Serangan itu itu berlaku di Bab as-Silsila yang merupakan salah satu pintu masuk utama ke dalam kawasan Masjid Al-Aqsa.
Pihak berkuasa Israel turut mengusir jemaah dari masjid suci itu dan menghalang mana-mana rakyat Palestin yang berusia di bawah 50 tahun memasukinya bagi memberi ruang kepada puak pelampau meraikan Rosh Hashanah iaitu Tahun Baharu Yahudi.
Pada masa sama, Malaysia mengutuk layanan berat sebelah dalam menangani konlik itu.
Kata Wisma Putra, Malaysia juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk berhenti menutup mata terhadap rejim itu yang jelas mengamalkan dasar aparteid.
“Masyarakat antarabangsa tidak boleh terus mengambil sikap tidak peduli terhadap serangan berterusan Israel dan dasar apartheid terhadap hak asasi, kehidupan dan maruah rakyat Palestin dari semua agama di tanah mereka sendiri.
“Malaysia terus berpegang teguh dengan pendirian berprinsip bahawa rakyat Palestin berhak hidup di negara mereka sendiri berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Timur Baitulmuqaddis sebagai ibu kotanya,” katanya. – UTUSAN