Majikan di Perak tak perlu takut kewujudan kesatuan sekerja - Utusan Malaysia

Majikan di Perak tak perlu takut kewujudan kesatuan sekerja

A. SIVANESAN (kanan) merasmikan pejabat Auegcas Perak pada majlis di Ipoh. -UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kewujudan kesatuan sekerja tidak menjejaskan majikan kerana kuasa rundingan yang dimiliki kesatuan masih tertakluk kepada kandungan akta dan peraturan berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, perjanjian bersama boleh dibentuk antara majikan dengan pekerja, seterusnya menjadi panduan kedua-dua pihak.

“Ini akan membantu pihak majikan sebab ada perjanjian bersama. Pekerja pun tidak boleh melanggari perjanjian.

“Terma-terma yang ada dalam perjanjian adalah selaras dengan apa yang ada dalam akta kerja. Mereka tidak boleh senaraikan sesuatu yang tidak ada dalam akta kerja. Tidak ada apa yang perlu ditakutkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke majlis sambutan dan perasmian pejabat Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (Auegcas) Perak di sini semalam.

Sivanesan mengulas lanjut tentang komitmen sebelum ini yang menyasarkan sekurang-kurangnya 25 peratus pekerja di Perak menjadi ahli kesatuan atau menubuhkan kesatuan di tempat kerja.

“Saya percaya tidak ada mana-mana negeri yang memberi pilihan ini kepada kumpulan pekerja. Kalau mereka beritahu majikan hendak menubuhkan kesatuan, majikan akan ambil tindakan. Tetapi jika kerajaan bersama-sama membantu mereka (pekerja) saya tidak nampak kenapa majikan membantah,” katanya.

Dalam majlis sama, pembukaan pejabat baharu Auegcas Perak bakal memberi manfaat kepada kelancaran urus tadbir gabungan tersebut yang kini mempunyai keahlian seramai 1,118 orang di negeri itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN